‘Buatlah apa pun, Allah akan bersama di pihak yang benar’ – Mursyidul Am Pas

KANGAR – “Buatlah apa pun, saya yakin Allah akan bersama di pihak yang benar,” kata Musyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin ketika dihubungi selepas dipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil keterangan dipercayai berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas di sini, hari ini.

Sebelum itu, Hashim memberi keterangan hampir dua jam kepada SPRM di pejabat agensi itu di sini namun beliau memaklumkan bahawa penjelasan tersebut langsung tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan menerima duit UMNO.

Katanya, pihak SPRM mendapatkan maklumat mengenai pembelian kereta jenis Porsche Cayman oleh anaknya yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan dana UMNO atau 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya beritahu yang betul, tidak ada sembunyi-sembunyi, kereta tersebut dibeli menggunakan Permit Import (AP) yang dimiliki atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Arau dahulu. Apa hendak bimbang, beli dengan cara betul dan bayar cukai mengikut peraturan ditetapkan.

“Apa yang penting satu pun tindakan tidak berkaitan dengan dakwaan terima duit UMNO itu. Buat lah apa-apa pun saya yakin Allah akan sentiasa berada di pihak yang benar,” katanya.

Terdahulu, Hashim tiba di pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 9.45 pagi dengan menaiki kereta jenis Proton Saga putih ditemani isterinya selain tiga anggota dari jabatan amal parti itu.

Bagaimanapun beliau meninggalkan pejabat SPRM selepas hampir dua jam memberi keterangan tanpa disedari pihak media yang menunggu di bangunan Wisma Persekutuan itu.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan telah dipanggil SPRM untuk diambil keterangan.

Sebelum itu, SPRM juga telah memanggil beberapa individu termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abdul Nik Abdul Aziz berhubung kes wang RM90 juta yang disyaki diterima pemimpin Pas melalui 1MDB.

Sementara itu, Hashim menyifatkan Pakatan Harapan (PH) sudah kehabisan modal dengan tindakan terbaharu memanggil pemimpin Pas untuk disiasat SPRM di saat Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih akan berlangsung esok.

“Mungkin mereka (PH) merasakan boleh mendapat keuntungan dengan cara tersebut tetapi saya percaya rakyat boleh menilai semua ini dan Allah akan bersama kita,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com