Bukan bencana besar, tiada pengisytiharan darurat di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diberitahu tiada pengisytiharan darurat berhubung isu pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang, Johor, kerana kes itu masih berada pada tahap dua yang dikategorikan bukan bencana besar.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin ketika menggulung perbahasan usul pengisytiharan darurat yang dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim pada sesi khas sidang Dewan Rakyat, petang ini.

Katanya, pengisytiharan darurat juga tidak dibuat kerana tiada permintaan daripada Kerajaan Johor berikutan keupayaan mereka menangani bencana berkenaan.

“Pengisytiharan darurat bencana perlu melalui beberapa peringkat iaitu ditangani di peringkat daerah, negeri dan Pusat.

“Buat masa ini, Kerajaan Negeri Johor memaklumkan perkara itu boleh diselesaikan mereka dan tiada keperluan untuk membuat pengisytiharan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul berkenaan.

Seramai empat ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian membahaskan usul berkenaan iaitu Hasan sendiri; Steven Choong Shiau Yoon (PH-PKR Tebrau); Datuk Ahmad Maslan (BN-UMNO Pontian) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).

Lima menteri dan timbalan menteri mengambil bahagian iaitu Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pertanian dan Industri Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Mohamed Hanipa menjelaskan walaupun tiada pengisytiharan darurat, kerajaan sudah menjalankan kerja seperti sudah ada darurat di kawasan terbabit.

Katanya, pelbagai jabatan kerajaan dan agensi penguat kuasa sudah digerakkan ke kawasan bencana termasuk tentera, anggota bomba dan pertahanan awam.

“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menyalurkan RM8 juta untuk kerja pembersihan sungai secepat mungkin,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com