DAP sangat takut hilang kuasa jika UMNO dan Pas bekerjasama – Penganalisis

SHAH ALAM – Tekanan DAP terhadap kerjasama UMNO dan Pas sehingga mendakwa Malaysia akan menjadi seperti negara Taliban hanya kebimbangan DAP terhadap kerusi PH yang mungkin ‘terpelanting’ pada PRU akan datang.

Penganalisis sosiopolitik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kebimbangan itu timbul hanya sebagai persepsi umum yang menjadi ancaman politik kepada PH.

“Tidak berasas kebimbangan Malaysia akan menjadi seperti negara Taliban sekiranya Pas dan UMNO memerintah negara nanti.

“Mereka juga bimbang kekuatan kerjasama politik itu (UMNO-Pas) akan menyebabkan pasti komponen dalam PH akan terpinggir,” katanya.

Pandangan ini susulan kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming yang mengatakan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang dikuasai Taliban jika UMNO dan Pas berjaya membentuk kerajaan dan memerintah negara ini.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, sekiranya Pas mentadbir negara juga, tidak mungkin parti itu akan menindas kaum lain di negara ini.

“Pas bila berkuasa di dalam negara Malaysia yang majmuk ini, sudah pasti mereka akan ambil kira kepelbagaian kaum, etnik dan agama yang ada di sini.

“Sikap toleransi itu sentiasa diutamakan bagi menghormati semasa sendiri. Contohnya di Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh Pas, tiada isu menindas orang bukan Islam berlaku sepanjang pemerintahan mereka,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com