Dr Mujahid jumpa Zakir Naik bincang gagasan Islam, berita palsu

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa mengadakan perbincangan dengan penceramah kontroversi dari India, Zakir Naik hari ini.

Antara isu dibincangkan dalam pertemuan hampir sejam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan itu ialah 3 gagasan Islam yang dibawa kerajaan sekarang iaitu “rahmatan lil alamin”, “maqasid syariah” dan model Malaysia.

Mereka turut membincangkan penyebaran berita palsu yang semakin serius.

“Pertemuan penuh mahabbah bersama Zakir Naik.

“Pengalaman dakwah beliau ke seluruh pelusuk dunia menjadi inspirasi buat kita untuk meneruskan kerja-kerja dakwah. Semoga Allah memperteguh usaha dakwah beliau untuk membimbing manusia mengenali Islam,” tulis Mujahid di Facebook hari ini.

Pada 11 Januari lalu, Mujahid dilaporkan berkata, kerajaan persekutuan tidak menyekat sebarang majlis ilmu membabitkan Naik.

Katanya, kerajaan menggunakan dasar terbuka terhadap mana-mana penceramah, namun terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi.

Naik dituduh menyampaikan ucapan-ucapan yang bersifat provokasi, yang menurut Bangladesh menjadi penyebab kepada serangan yang meragut 22 nyawa di Dhaka pada 2016.

Agensi Penyiasatan Kebangsaan India juga sedang menyiasat Yayasan Penyelidikan Islam milik Naik atas dakwaan pengubahan wang.

Naik menafikan semua tuduhan itu, mengatakan dia mangsa media India yang dituduh mensensasikan isu berkenaan dalam usaha mendapatkan lebih ramai penonton.

Penceramah berusia 53 tahun itu, yang rapat dengan pimpinan kerajaan terdahulu, diberi status pemastautin tetap dan melawan cubaan menghantar beliau pulang ke negaranya.



Sumber: cempedakcheese.com