ECRL: Guan Eng tidak layak untuk berunding dengan China – Tun M

KUALA LUMPUR – Perdana menteri hari ini menjelaskan kenapa Putrajaya memilih Daim Zainuddin dan bukannya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mengetuai rundingan semula projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang digantung sejak Julai tahun lalu.

Dr Mahathir Mohamad (PH-Langkawi) berkata, kerajaan perlu memilih wakil yang boleh diterima negara lain dan ada batasan yang dihadapinya dalam memilih calon sesuai memikul tugas itu.

“Pilihan calon berdasarkan kemampuan tertentu. Itu sebabnya kami memilih individu yang kami lihat layak dan berkemahiran untuk berunding dengan China.

“Ini sebabnya kami memilih bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin mengetuai rundingan semula itu,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Mahathir menjawab soalan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin tahu sebab Lim tidak mengetuai rundingan semula dengan China berhubung projek itu.

Katanya, rundingan masih berterusan dan keputusan muktamad dijangka dibuat tidak lama lagi.

“Jika projek itu dikecilkan atau dipendekkan, negeri pantai timur boleh mendapat kemudahan itu tanpa membelanjakan banyak wang.

“Kami masih berunding demi manfaat negeri pantai timur kerana kami tahu selain Terengganu, mereka banyak berhutang kepada kerajaan persekutuan dan kami tidak mahu membebankan mereka dengan lebih banyak hutang.”



Sumber: cempedakcheese.com