Imam Membaca Al-Fatihah Dan Surah Lain Dengan Qiraat Berbeza

Posted on Wednesday, March 13, 2019 | 3/13/2019



Soalan:
Pernah sekali semasa saya solat di salah sebuah surau, dalam rakaat pertama imam membaca surah Al-Fatihah dengan qiraat yang biasa kita dengar. Kemudian pada rakaat yang kedua imam membaca Al-Fatihah dan surah dengan qiraat yang lain. Apakah diperbolehkan? Mohon pencerahan.

Jawapan:
Membaca Al-Fatihah merupakan rukun solat yang perlu dibaca. Terbatal solat jika tidak membaca Al-Fatihah. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
“Tiada solat (tidak dianggap mendirikan solat) bagi sesiapa yang tidak membaca Al-Fatihah.” [Riwayat Muslim (900)]

Manakala membaca surah adalah sunat sahaja. Ini bermakna, jika seseorang terlupa membaca ayat-ayat selepas Al-Fatihah, maka solatnya tetap sah. Ini berdasarkan athar daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Ibnu Juraij. Kata beliau:

أَخْبَرَنِي عَطَاءٌ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ فِي كُلِّ صَلَاةٍ يُقْرَأُ فَمَا أَسْمَعَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْمَعْنَاكُمْ وَمَا أَخْفَى عَنَّا أَخْفَيْنَا عَنْكُمْ وَإِنْ لَمْ تَزِدْ عَلَى أُمِّ الْقُرْآنِ أَجْزَأَتْ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ
Atha’ mengkhabarkan kepada kami bahawa beliau mendengar Abu Hurairah R.A berkata: “Setiap solat dibaca ayat. Apa yang diperdengarkan oleh Rasulullah SAW kami perdengarkan kepada kalian. Apa yang Baginda sebut secara perlahan kami sebut secara perlahan kepada kalian. Jika engkau tidak menambah apa-apa bacaan selain ummul Quran (Surah Al-Fatihah) maka solat tetap sah. Jika engkau tambah maka ia lebih baik.” [Riwayat Al-Bukhari (772)]

Asal hukum membaca Al-Fatihah dan ayat-ayat lain di dalam solat dengan menggunakan qiraat adalah harus. Dengan syarat ia adalah di antara qiraat yang mutawatir.

Imam Al-Nawawi berkata: “Ashab dan para ulama yang lain mengharuskan membaca Al-Fatihah dan ayat-ayat yang lain di dalam solat dengan menggunakan tujuh qiraat yang mutawatir. Tidak boleh membaca menggunakan qiraat yang syaz di dalam solat. Ini kerana qiraat syaz tidak dianggap sebagai Al-Quran. Al-Quran thabit dengan riwayat mutawatir. Dan setiap daripada qiraat yang tujuh merupakan qiraat yang mutawatir.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/392)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika seseorang membaca Al-Fatihah atau ayat yang lain dengan salah satu qiraat, maka seharusnya dia membaca surah-surah tersebut yang lain dengan qiraat yang sama. Ini adalah berdasarkan pandangan Imam Al-Nawawi.

Beliau berkata: “Jika seseorang membaca ayat-ayat dengan salah satu daripada qiraat yang tujuh, maka seharusnya dia meneruskan bacaan dengan qiraat tersebut.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/392)

Jika seseorang membaca satu ayat dengan satu qiraat kemudiannya membaca ayat yang lain dengan qiraat yang lain, maka ianya dibenarkan dengan syarat ayat pertama yang dibaca itu tidak bersambung atau berkaitan dengan ayat yang kedua. Inilah yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi.
Beliau menyebut: “Jika seseorang membaca satu ayat dengan salah satu qiraat kemudian membaca ayat lain dengan qiraat yang lain maka ianya diharuskan dengan syarat ayat yang pertama tidak bersambung atau berkaitan dengan ayat yang kedua.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/392)

Sebagai contoh, ayat فَتَلَقَّىٰٓ ءَادَمُ مِن رَّبِّهِۦ كَلِمَـٰتٍ.[1] Jika seseorang membaca perkataan ءادم dengan bacaan mansub kemudian membaca perkataan كَلِمَـٰتٍ dengan bacaan marfu’. Ini yang tidak dibernarkan. Ianya tidak betul dari sudut kaedah bahasa arab. Perkara ini juga telah dijelaskan oleh Ibnu Al-Jazari di dalam karyanya Al-Nasyr fi Al-Qiraat Al-‘Asyr (1/19).

Namun begitu, Al-Khatib Al-Syarbini mengatakan bahawa makruh hukumnya jika seseorang membaca satu ayat dengan satu qiraat kemudian membaca ayat yang lain dengan qiraat yang berbeza. Kecuali pada sesi pengajaran. (Rujuk Mughni Al-Muhtaj, 1/36)

Kesimpulannya, kami lebih cenderung untuk dielakkan perkara demikian khususnya ketika menjadi imam. Ini boleh menyebabkan terganggunya solat makmum. Ia juga ditakuti menimbulkan salah faham dan fitnah disebabkan tidak semua orang mengetahui tentang qiraat. Seelok-eloknya baca dengan bacaan yang biasa diperdengarkan. Jika imam ingin membaca qiraat lain, sebaiknya dimaklumkan terlebih dahulu kepada makmum agar tidak menimbulkan sebarang persepsi nantinya.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.

[1] Surah Al-Baqarah:37

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 3/13/2019

0 comments:

Loading...