‘Jika dia tiada, tak tahu bagaimana nasib kami…’ – Lelaki ini dianggap wira kerana berjaya halau penyerang masjid

Posted on Sunday, March 17, 2019 | 3/17/2019


Abdul Aziz, 48, dianggap sebagai wira selepas berjaya menghalau pengganas keluar dari Masjid Linwood sebelum lelaki itu melarikan diri dalam kereta.

Imam Masjid Linwood, Latef Alabi berkata, jumlah kematian akan jauh lebih tinggi di masjid berkenaan sekiranya Aziz tidak bertindak sedemikian.

Menurut Alabi, dia terdengar kekecohan di luar masjid sekitar pukul 1.55 petang sebelum menghentikan solat yang diketuainya lalu melihat di luar tingkap.

Perkara pertama yang dilihat Alabi ialah pengganas yang dikenali sebagai Brenton Tarrant memakai pakaian ala gaya militari dan memegang pistol besar.

Pada awalnya, Alabi menyangka Tarrant pegawai polis, namun sebaik melihat dua mayat dan terdengar lelaki itu terjerit-jerit menyebabkan dia mengarahkan 80 jemaah yang bersama-samanya supaya segera lari dan menyembunyikan diri.

Jemaah-jemaah berkenaan juga pada awalnya teragak-agak untuk berbuat seperti yang diarahkan Alabi, namun selepas mendengar bunyikan tembakan dan tingkap pecah, mereka mula panik.

Dalam masa sama, Aziz yang berusia 48 tahun mengambil objek pertama yang boleh dicapainya iaitu sebuah mesin kad kredit dan berlari di luar sambil menjerit “Datang ke sini!”

Ketika Tarrant berlari kembali ke keretanya untuk mendapatkan senjata lain, Aziz melemparkan mesin kad kredit ke arahnya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia mendengar dua anaknya berusia 11 dan lima tahun mendesaknya untuk kembali ke dalam masjid.

Menurut Aziz, Tarrant mula menembak ke arahnya, namun dia berlari mengikut celah-celah kereta sekali gus, menghalang pengganas itu daripada menembaknya.

Semasa Tarrant menuju kembali ke masjid, Aziz mengambil senjata yang ditinggalkan warga Australia itu dan cuba menembaknya tetapi ia kosong.

Katanya, Tarrant berlari ke kereta untuk kali kedua untuk mengambil senjata lain dan Aziz melemparkan senjata kosong itu ke arahnya dan memecahkan tingkapnya.

Kaca tingkap depan kereta itu berkecai dan menurut Aziz, situasi tegang itu menyebabkan Tarrant ketakutan.

Seraya memaki hamun Aziz, Tarrant turut berteriak yang dia akan membunuh kesemua mereka.

Sebaik Tarrant memandu meninggalkan kawasan masjid, Aziz berlari dan cuba mengejar kereta yang dipandu pengganas itu.

Berasal dari Kabul, Afghanistan, Aziz hidup sebagai pelarian ketika dia masih muda dan menetap di Australia selama 25 tahun sebelum berpindah ke New Zealand beberapa tahun lalu.

Tarrant, seorang ekstremis berhaluan kanan telah membunuh 50 orang selepas menyerang dua masjid dalam penembakan paling dahsyat dalam sejarah moden New Zealand.



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 3/17/2019

0 comments:

Loading...