Jual aset negara: ‘Takkan nak jual sampai ke seluar dalam?’ – Ku Li

KUALA LUMPUR – “Tak akan nak jual sampai ke seluar dalam kalau pun tiada duit”.

Demikian tempelak veteran politik, Tengku Razaleigh Hamzah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilaporkan media antarabangsa akan menjual bangunan konsulat di Hong Kong.

Tegas bekas Menteri Kewangan itu, terdapat pelbagai kaedah lain yang boleh diikhtiar oleh kerajaan untuk memperoleh wang untuk negara.

“Tak akan nak jual segalanya? Bagi saya elok simpan kerana kalau nak beli pula harganya sudah melambung naik.

“Dahulu kita beli HK$200 juta (RM103.8 juta), kalau tak silap. Tapi sekarang sudah bilion nilai beli tanah. Ada duit nak beli bilion ringgit?” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Februari lalu, akhbar The Star yang memetik laporan Ming Pao mendedahkan Kumpulan Evergrande China dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong iaitu Malaysian Building.

Selasa lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu, keputusan Malaysian Building dibuat sejak pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana tidak mampu menanggung kos baik pulih berjumlah RM300 juta. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com