Jual rokok seludup, peniaga didenda RM100,000

TINDAKAN peniaga menjual rokok seludup di kedai runcitnya membawa padah apabila dia dikenakan hukuman denda RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Kemaman, Chukai hari ini.

Majistret Nik Mohd Termizie Nik Mohd Shukri mengenakan hukuman itu terhadap Nazrin Ab Rahman, 44, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan memiliki 59 paket rokok seludup pelbagai jenama di kedai runcitnya.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Nazrin didakwa memiliki 59 paket rokok seludup pelbagai jenama di kedai runcitnya di Jalan Siatan Bandar Seri Bandi, Kemaman, 5.30 petang 14 Januari lalu.

Semua rokok itu adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Terengganu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, serbuan dilakukan di kedai runcit milik tertuduh kerana disyaki terbabit dengan aktiviti menjual rokok yang belum lulus Kastam.

Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenama rokok seludup dan tertuduh didapati gagal mengemukakan dokumen yang menunjukkan cukai atau duti ke atas rokok itu sudah dibayar.



Sumber: cempedakcheese.com