Kalau ‘Eggboi’ duduk Malaysia, dia dimaki penyokong Pas dan UMNO – Rafizi

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa remaja Australia yang menempekkan telur ke atas kepala seorang senator di negara itu akan dimaki secara berjemaah oleh penyokong UMNO dan Pas , sekiranya tinggal di Malaysia.

Rafizi mendakwa, bagi penyokong pembangkang sesiapa yang bangun berhadapan dengan fahaman perkauman akan dianggap sebagai pengkhianat bangsa.

“Kalau budak ini duduk di Malaysia, dia akan dimaki hamun secara berjemaah oleh penyokong pembangkang PASUmno.

“Di luar negara, budak berani yang bangun berhadapan dengan seorang pemuka perkauman – kepada penyokong pembangkang PASUmno, budak ini adalah wira.

“Di dalam negara, sesiapa yang bangun berhadapan dengan fahaman perkauman yang mereka bawa – kepada penyokong pembangkang PASUmno, orang ini pengkhianat bangsa,” kata Rafizi dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Will Connoly yang berusia 17 tahun bertindak memecahkan telur di atas kepala Senator Australia, Fraser Anning ketika beliau sedang melakukan sidang media.

Anning sebelum itu mencetuskan kemarahan selepas mengaitkan serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand dengan penghijrahan pendatang Islam ke New Zeland.

Tindakan remaja itu mencuri perhatian masyarakat dunia dengan tindakan beraninya memecahkan telur di kepala Fraser yang memberi kenyataan yang berbaur rasis.-UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com