Kecil saiz penjawat awam, tidak kurangkan peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR: Cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan pengecilan saiz penjawat awam tidak bererti akan berlaku pengurangan peluang pekerjaan.

Beliau menegaskan Dasar Penswastaan yang dilaksanakan pada tahun 1983, merupakan satu strategi yang masih relevan pada masa kini sekaligus mampu meningkatkan kecekapan dan produktiviti penjawat awam.

“Kita dapati strategi ini masih relevan bagi menangani isu jumlah anggota perkhidmatan awam yang dilihat terlalu besar dan memberikan implikasi kewangan yang membebankan. Penumpuan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti dan penggunaan sumber tenaga secara optimum.

“Ke arah ini, Kerajaan sedar bahawa apabila kita kurangkan saiz maka akan berlaku pula masalah tidak bekerja, dan ini akan menimbulkan masalah sosial. Sebab itu kita perlu bangunkan bidang pembuatan umpamanya supaya lebih ramai yang boleh berpindah daripada bekerja dengan Kerajaan kepada kerja dengan swasta.

“Ini sekaligus akan meningkatkan keupayaan mereka supaya hasil kerja mereka lebih tinggi daripada menjadi pegawai biasa dalam Kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang bertanyakan apakah rasional cadangan Dr Mahathir untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata Kerajaanakan memastikan mereka yang terbabit dengan pengecilan saiz penjawat awam itu akan disediakan peluang pekerjaan di sektor ekonomi lain.

Ia termasuk penyediaan pelan holistik bagi menjamin transisi tersebut tidak memberi kesan kepada perjalanan atau pengurusan negara.

“Sektor awam sewajarnya memfokus kepada penyediaan dasar utama dan menentukan arah dan penyediaan perkhidmatan dan tidak terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan di Malaysia.

“Dengan perkembangan teknologi terkini, Kerajaan percaya perkhidmatan awam akan lebih produktif apabila duplikasi dapat dikurangkan, pembaziran dihapuskan, pengagihan sumber dilaksanakan dengan cekap dan guna tenaga diganti dengan penggunaan teknologi maklumat serta komputer,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com