Lebih 50 anak syarikat kerajaan Terengganu akan ditutup

KUALA TERENGGANU – Lebih 50 anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak lagi melakukan sebarang perniagaan akan ditutup dalam usaha menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata langkah penutupan itu dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan berjumlah ratusan ribu ringgit setahun yang sebelum ini digunakan untuk tadbir urus syarikat berkenaan meskipun tidak lagi menyumbang kepada ekonomi negeri.

“Ada sebahagiannya langsung tidak menjalankan sebarang perniagaan…kita tidak tahu kenapa sebelum ini tiada langkah penutupan dilakukan.

“Jika kita tidak tutup syarikat ini, kita masih perlu menanggung kos pentadbiran ratusan ribu ringgit setahun kerana perlu bayar kepada setiausaha syarikat yang akan buat audit dan penama-penama yang mentadbir syarikat ini.

“Selepas penutupan syarikat ini, kerajaan negeri boleh tumpu kepada syarikat yang lebih berdaya maju dalam perniagaan dan wang ratusan ribu ringgit itu boleh disalurkan kepada perkara yang lebih penting,” katanya kepada pemberita selepas Program Makan Malam Ummah di sini, semalam.

Ahmad Samsuri berkata kebanyakan daripada syarikat berkenaan adalah anak syarikat di bawah Terengganu Inc dan menjalankan perniagaan yang hampir serupa antara satu sama lain, menyebabkan berlaku persaingan yang tidak sihat.

Malah, katanya, ada antara syarikat itu menjalankan perniagaan bukan teras seperti mengeluarkan barang niaga untuk kerajaan negeri, membabitkan kos yang tinggi.

“Langkah seterusnya, kita akan buat penggabungan syarikat selepas kita ‘memperkemaskan’ mana-mana syarikat yang tidak diperlukan di bawah segmen perniagaan yang kita dah ada, contohnya bidang perhotelan, perladangan, minyak dan gas serta pembinaan.

“Bila kita buat penggabungan syarikat milik kerajaan negeri, semua aset yang kita milik boleh digunakan bersama, syarikat akan jadi lebih besar lagi kukuh, lebih mudah untuk bersaing dengan syarikat lain di luar sana,” katanya. – BERNAMA



Sumber: cempedakcheese.com