Maksud Hadith 'Isteri Sujud Kepada Suami'


Soalan:
Berkenaan sebuah hadith yang maksudnya Nabi SAW menyuruh isteri sujud pada suami itu adakah ia hadith yang sahih atau bukan? Jika sah ia adalah hadith maka apakah maksudnya?

Jawapan:
Hadith yang dimaksudkan ada beberapa lafaz yang berlainan tetapi sama maksudnya. Antaranya ialah:

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. sabda Nabi saw :

لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ
“Kalau aku dibolehkan perintah seseorang itu sujud bagi seorang yang lain maka sudah tentu aku perintahkan isteri itu sujud kepada suaminya.” (Hadith Sahih riwayat Tirmidzi)

Dan diriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللَّهِ ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا
“Jikalau dibolehkan aku suruh seorang itu sujud bagi selain Allah nescaya tentu aku perintahkan isteri itu sujud bagi suaminya.” (Hadith Hasan riwayat Ibnu Majah)

Dan diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. Nabi saw bersabda :

لَا يَصْلُحُ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ ، وَلَوْ صَلَحَ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، مِنْ عِظَمِ حَقِّهِ عَلَيْهَا
“Tidak patut bagi manusia sujud bagi manusia. Kalaulah patut manusia sujud bagi manusia nescaya sudah aku perintahkan para isteri sujud bagi suaminya dari kerana besarnya hak suami atas isteri.” (Hadith Hasan riwayat Imam Ahmad)

Maksud hadith ini ialah Rasulullah saw mengingatkan para isteri supaya taat sungguh-sungguh kepada suami mereka kerana hak suami yang mesti ditunaikan oleh isteri itu amat besar.

Seorang manusia memang haram sujud kepada makhluk dan hadith ini bukan membenarkan manusia sujud bagi makhluk tetapi sekadar membuat kiasan kalaulah tidak haram sujud sesama makhluk maka sudah tentu Nabi SAW mewajibkan isteri sujud kepada suami kerana kewajipan taat oleh seorang isteri yang paling utama dalam dunia ini ialah taat kepada suaminya lebih dari ibu bapanya, saudaranya, sahabatnya dan sekalian manusia.

Dan isteri yang tidak taat kepada suaminya itu tidak masuk ke dalam syurga melainkan suaminya memaafkannya.

Wallahua’lam.

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)
Sumber: Oh! Media