Malaysia satu-satunya pasaran saham Asia susut tahun ini

Posted on Tuesday, March 12, 2019 | 3/12/2019


KUALA LUMPUR: Keghairahan susulan pilihan raya umum bersejarah Malaysia pada Mei tahun lalu semakin pudar, dengan pasaran saham tempatan adalah satu-satunya di Asia yang susut setakat tahun ini.

Penanda aras indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut lebih daripada satu peratus setakat ini pada 2019, satu-satunya pasaran serantau yang merosot, sambil Singapura melonjak empat peratus dan Indonesia menokok tiga peratus.

Trend itu dijangka tidak berubah dengan pelabur menunggu inisiatif kerajaan untuk mengurangkan defisit bajet, membanteras rasuah dan meningkatkan kuasa beli.

“Ia kembali bermula di mana negara ini akan bergerak, kaedah kerajaan akan memimpin,” kata Pengarah Pelaburan Invesco Asset Management berpangkalan di Singapura, Jalil Rasheed.

“Sesiapa yang mengambil tinjauan jangka panjang di Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun perlu agak bersabar untuk dua hingga tiga tahun akan datang.”

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa pelabur supaya membeli aset Malaysia, sebelum menjadi mahal sebaik saja situasi fiskal kembali menemui landasan dalam masa tiga tahun.

Pentadbiran baharu sedang dalam ‘mode’ pembersihan dengan membatal dan menyemak semula projek-projek berbilion dolar sambil menggantikan beberapa Ketua Pegawai EKsekutif (CEO) dan syarikat berkaitan kerajaan.

Ia menyebabkan pertumbuhan sederhana kepada 4.7 peratus tahun lalu, dengan kerajaan menyasarkan peningkatan kepada 4.9 peratus tahun ini.

Ahli-ahli ekonomi bagaimanapun tidak begitu yakin, apabila mengunjurkan pertumbuhan hanya akan mencapai 4.5 peratus.

Beberapa keputusan kewangan lemah juga tidak membantu, dengan syarikat seperti Axiata Group Bhd dan Nestle Malaysia Bhd tidak mencapai sasaran.

Perolehan korporat Malaysia tertinggal di belakang negara jiran apabila susut 3.15 peratus tahun lalu, berbanding kenaikan 8.8 peratus di Singapura dan 18 peratus di Indonesia.

Perolehan korporat tempatan dijangka hanya meningkat satu hingga dua peratus tahun ini, kata Ahli Strategi Morgan Stanley Asia Tenggara, Sean Gardiner.

“Kita perlu melihat kegusaran kembali ke pasaran sedang pesat membangun supaya pelabur menghargai situasi Malaysia yang bertahan,” katanya.

Bagi menarik pelabur, Malaysia memperkenalkan pelan ekonomi lima tahun yang menjanjikan ketelusan dan pembaharuan institusi.

Ia menyasarkan untuk menangani pertumbuhan produktiviti, menyeragamkan perbelanjaan kerajaan untuk mengelakkan rasuah dan melebarkan ruang fiskal dengan menaikkan pematuhan cukai.

Namun, segala-galanya lebih mudah untuk dirancang dan persoalannya sekarang adalah pelaksanaan, kata Ketua Penyelidikan Ekuiti Serantau RHB Bank Bhd, Alexander Chia.

“Yang jelas, terdapat banyak risiko pelaksanaan dan pastinya banyak risiko politik.”

Beliau berkata, ia tidak hanya berlaku di Malaysia, kerana perubahan kerajaan di India dan Indonesia menjadikan pasaran bergelut selama 18 bulan sebelum menunjukkan isyarat pemulihan.

Indeks S&P BSE Sensex susut lima peratus selepas pilihan raya 2014 sebelum menokok dua peratus pada 2016 dan 28 peratus pada 2017.

Indeks Komposit Jakarta pula menjunam 12 peratus pada 2015, setahun selepas pilihan raya sebelum melantuk 15 peratus pada 2016.

Kes Malaysia mungkin dirumitkan oleh jangkaan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijanjikan kerusi berkenaan sebelum pilihan raya.

Anwar, yang memimpin parti terbesar dalam pakatan pemerintah berkata, Dr Mahathir dengan ‘amat jelas’ memberitahu peralihan akan berlaku menjelang Mei tahun depan. – BLOOMBERG



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 3/12/2019

0 comments: