MB Johor ke Batam untuk mencari pelabur

Menteri Besar Johor Osman Sapian hari ini tampil memberi penjelasan berhubung tindakannya meninggalkan Johor untuk ke Indonesia ketika Pasir Gudang berdepan isu pencemaran toksik.

Kata Osman kunjungan beliau ke Batam dibuat melalui perancangan yang dibuat lebih awal.

Menurut Adun Kempas itu lawatan tersebut dibuat bagi meningkatkan rangkaian kerjasama di antara Johor dengan penggerak industri pelancongan dan pelabur di Indonesia.

“Sebagai makluman, lawatan kerja delegasi kerajaan Johor dirancang sebelum ini dan ia adalah berkaitan dengan urusan kerja untuk meningkatkan rangkaian kerjasama di antara penggerak industri pelancongan da pelabur negeri Johor dengan penggerak industri di Indonesia khususnya di Pulau Batam,” katanya.

Mengulas lanjut, Osman berkata, lawatan tersebut asalnya dirancang selama tiga hari namun disingkatkan menjadi satu hari saja bagi membolehkan kerja-kkerja menguruskan operasi pembersihan sisa toksik di Pasir Gudang dapat dipantau.

Kata Osman kerana keadaan semasa di Pasir Gudang beliau membatalkan beberapa sesi pertemuan yang dirancang sebelum ini.

Pada masa sama katanya ada beberapa mesyuarat penting yang tidak dapat dielakkan terpaksa dilaksanakan.

Terima kasih buat semua petugas

“Ia adalah penting sebagai persediaan kerajaan negeri menghadapi Tahun Melawat Johor 2020.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Bandar Batam, Muhammad Rudi, kerana memahami sebab mengapa beberapa sesi lawatan dan mesyuarat terpaksa dibatal dan dipendekkan kerana bencana di Pasir Gudang.

“Malah, mereka juga melahirkan rasa sedih atas kejadian ini,” katanya.

Semalam Osman berada di Batam dalam lawatan rasmi mempromosikan Tahun Melawat Johor 2020 dan ia mengundang kritikan pihak tertentu kerana negeri terbabit berdepan dengan pencemaran daripada pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim.

Mengulas lanjut Osman berkata sepanjang kurang 24 jam beliau di Batam, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana sentiasa berhubung dengannya bagi memberikan maklumat mengenai perkembangan semasa di pasir Gudang.

Justeru, Osman berkata beliau berharap penjelasan yang dibuat hari ini dapat merungkai salah faham atau kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Saya amat berterima kasih kepada semua kakitangan dan agensi yang gigih berkerja 24 jam bagi mengurus dan mengawal operasi bencana ini,” tambahnya.



Sumber: cempedakcheese.com