McDonalds mohon injunksi mahkamah ke atas penulis blog

KUALA LUMPUR – Gergasi makanan segera dunia, McDonald’s telah memfailkan saman dan permohonan perintah injunksi ke atas blogger Yuseri Yusoff untuk tidak terus menerbitkan pendedahan ‘Membongkar Sisi Gelap McDonald’s Malaysia’.

Permohonan McDonalds Malaysia difailkan dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Yang Arif, Rohani Ismail menuntut blogger Yuseri Yusoff untuk tidak meneruskan penerbitan berkaitan rangkaian restoran tersebut.

Januari lalu, blog yuseriyusoff.blogspot.my dan facebook Yuseri Yusoff menerbitkan satu video bertajuk ‘Membongkar Sisi Gelap McDonald’s Malaysia – Part I’.

Video tersebut mendakwa McDonalds telah menganiaya dan menindas pemilik francais di Malaysia bertujuan untuk mengambil alih outlet restoran milik francais mereka untuk menguruskannya sendiri.

Yuseri Yusoff juga mendakwa terdapat tiga kesalahan yang melanggar Akta Francais 1998 dilakukan gergasi makanan segera itu dalam perjanjian francais mereka.

McDonald’s Malaysia sebelum ini menuntut laporan tersebut dipadamkan tetapi Yuseri Yusoff menyatakan tiada sebab untuk beliau menghapuskan laporan tersebut kerana ia bukan fitnah dan berdasarkan aduan pemilik francais sendiri.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di dalam sidang media pada 17 Januari lalu mengakui pihak PPIM ada menerima aduan pemilik francais mengenai kes rangkaian restoran McDonalds namun menafikan pihak PPIM menutup aduan berkenaan.

Kes McDonalds disifatkan sebagai kes besar dan perlu diselesaikan dan diberi perhatian oleh pihak Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Perbicaraan dalam kamar hari ini, Yang Arif, Rohani Ismail, menasihatkan plantif menarik balik perintah injunksi interim dan bersetuju dengan hujah peguam bagi pihak defendan.

Peguam Plaintif meminta tarikh baru diberikan untuk menarik balik perintah interim tersebut.

Yuseri Yusoff yang diwakili peguam Tetuan Tabian Tahir and Co. meminta supaya perbicaraan kes ini disegerakan dan Hakim bersetuju untuk menetapkan tarikh bicara awal.

Restoran McDonald’s di Malaysia diuruskan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd kini mempunyai lebih 260 cawangan di seluruh negara.

Related articles this issues :

https://ift.tt/2T6bxgU

https://ift.tt/2XW0Zo6



Sumber: cempedakcheese.com