Pencemaran kimia: ‘Tak perlu pindak penduduk kerana rumah boleh ditutup pintu’ – MB Johor

PASIR GUDANG – Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, penduduk di kawasan perumahan di sini tidak terjejas dengan pencemaran kimia yang berlaku kerana rumah mereka mempunyai pintu yang boleh ditutup dan penduduk pula tidak keluar ketika siang hari.

Beliau menjawab sedemikian apabila ditanya oleh wartawan sama ada penduduk di kawasan perumahan yang berhampiran dengan sungai yang tercemar dengan bahan kimia tersebut perlu dipindahkan.

“Saya lihat kawasan perumahan ini tidak terjejas. Hanya sekolah-sekolah kerana sekolah ini ia agak terbuka, terdedah. Rumah ni dia tutup pintu dan sebagainya. Mereka yang duduk di rumah ni biasanya mereka tak akan keluar sewaktu siang hari.

Kalau ikutkan kita punya bancian, perumahan ini tidak begitu terjejas hanya yang terjejas sikit adalah sekolah,” katanya ketika sidang media di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) petang tadi.

Pada perkembangan yang sama, Osman turut mengumumkan pasukan petugas khas (task force) bagi menangani isu pencemaran kimia tersebut. Pasukan itu melibatkan beberapa agensi berkaitan bagi menyiasat punca sebenar pencemaran berkenaan.

Beliau juga meluluskan peruntukan bantuan kecemasan dan memberi fokus kepada pengawalan pencemaran yang melanda kawasan itu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengarahkan 34 buah sekolah di sekitar kawasan terjejas ditutup serta merta memandangkan keadaan semakin kritikal.



Sumber: cempedakcheese.com