Pencemaran toksik makin buruk, pusat saringan terpaksa pindah ke stadium

PASIR GUDANG – Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih di sini yang menjadi pusat saringan untuk mangsa pencemaran toksik di Sungai Kim Kim berpindah operasi ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 8 malam ini.

Menurut setiausaha Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang (PAGEMA), Sharif Idrus, pemindahan pusat saringan atas arahan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat disebabkan faktor-faktor keselamatan.

“Komander Operasi meminta kita berpindah operasi selepas mengambil kira faktor keselamatan kerana kedudukan dewan berhampiran Sungai Kim Kim yang sedang dalam proses pembersihan.

“Pemindahan ini juga mengambil kira keselesaan yang boleh diberikan ketika membuat saringan terhadap mereka yang disyaki terjejas akibat pencemaran sisa toksik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sharif berkata, pada hari ini sahaja, operasi Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih menyaring seramai 284 pesakit.

Katanya, perpindahan ke tempat baharu itu yang lebih besar membolehkan pusat saringan memperluaskan operasi dengan menambah bilangan kakitangan dan sukarelawan, katil pesakit, kelengkapan perubatan dan sebagainya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com