President PBSNT Puji Prestasi Terengganu FC Meningkat, Tetapi...


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meluahkan nada gembira mengenai prestasi terkini pasukan utama negeri, Terengganu FC (TFC) yang semakin meningkat.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyatakan walaupun ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, tetapi skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu berada pada posisi terbaik untuk menjadi pencabar utama liga.

Malah beliau berkeyakinan jika kombinasi antara pemain baharu dan sedia ada semakin serasi, ia bakal menambah bisa buat naib juara Piala Malaysia musim lalu itu.

“Sebelum ini saya memang ada bertemu dengan ketua jurulatih, (Irfan Bakti) dan beliau ada memberi beberapa maklum balas kepada saya berkaitan dengan perkembangan terkini pasukan.

“Walaupun kita berdepan dengan sedikit cabaran, tapi oleh kerana kita masih lagi di peringkat awal, kita akan cuba memanfaatkan sepenuhnya pemain yang ada terutama pemain import dari Uzbekistan, (Sanjar Shaakhmedov) untuk membantu meningkatkan mutu persembahan pasukan.

“Setakat enam perlawanan yang dilalui secara keseluruhannya sudah ada peningkatan dan semakin baik, apa yang kita harapkan momentum itu dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya bagi mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) yang disasarkan,” kata Dr Ahmad Samsuri ketika ditemui selepas Anugerah Sukan Terengganu (AST), 2018 di Dewan Arena Stadium Tertutup di Gong Badak malam kelmarin.

Berdasarkan enam perlawanan terdahulu, skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu baharu mencatat dua kemenangan, tiga kali seri dan tewas sekali dengan mengumpul sembilan mata untuk menghuni tangga keenam liga.

Beliau berkata, biar pun skuad TFC kian meningkat tetapi masih ada beberapa kelemahan yang perlu ditingkatkan segera terutama kombinasi bagi memastikan skuad TFC mampu memperagakan aksi lebih mantap dan bertenaga.

“Bagi membiasakan kombinasi itu dan untuk mendapat rentak yang baik sudah semestinya memerlukan sedikit masa, ini yang sedang diperbaiki oleh barisan jurulatih dan pihak pengurusan pasukan,” ujar Dr Ahmad Samsuri. - Harian Metro