‘Saya terlalu sibuk untuk ketuai rundingan ECRL’ – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengakui terlalu sibuk untuk dipilih mengetuai rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara Malaysia dengan Kerajaan China.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin, kerana bersetuju menggalas tanggungjawab mengendalikan rundingan berkenaan.

“Kita harus berterima kasih kepada Tun Daim kerana jika kita nak runding semula kontrak yang begitu besar lagi rumit, ini adalah tugas sepenuh masa.

“Jika dipilih (mengetuai rundingan semula ECRL dengan China), saya mana ada masa untuk buat kerja lain, nak kena ulang alik ke Beijing dengan tujuh, lapan jam penerbangan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Daim dipilih sebagai utusan khas Perdana Menteri untuk mengendalikan proses rundingan semula ECRL dengan China, supaya penyelesaian menang-menang berupaya diperoleh Malaysia.

Dr Mahathir berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Said (BN-Kuala Krau) mengenai jumlah kerugian bakal ditanggung Malaysia mengikut kadar harian selepas projek ECRL digantung sejak Julai tahun lalu, selain mengapa kerajaan memilih Daim mengetuai rundingan dengan China.

Guan Eng berkata, Daim adalah individu terbaik mengendalikan rundingan itu kerana bekas Menteri Kewangan berkenaan tidak terikat dengan protokol, selain memiliki pengalaman dan kepakaran tersendiri.

“Beliau (Daim) boleh meneroka semua aspek apabila tidak terikat dengan protokol, dan beliau juga seorang yang ‘straightforward’ (lurus), ini yang kita perlukan.

“Selepas Tun Daim memuktamadkan rundingan, yang kami yakin beliau akan berjaya, ia akan dibawa ke Kabinet bagi keputusan muktamad,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com