Serangan ke atas masjid di New Zealand, ramai umat Islam terkorban

CHRISTCHURCH: Dua insiden tembakan berlaku di dua masjid di bandar raya ini pada Jumaat, mengakibatkan sejumlah besar mangsa terbunuh.

Polis belum mengeluarkan kenyataan berhubung skala insiden itu namun menasihatkan orang ramai di tengah Christchurch supaya tidak keluar rumah.

Seorang saksi berkata, dia melihat seorang lelaki memasuki Masjid Al Noor di tengah Christchurch kira-kira pukul 1.45 tengah hari waktu tempatan dan mendengar puluhan das tembakan dilepaskan selepas itu.

Sejurus itu, orang ramai dilihat bertemparan lari keluar dari masjid dalam keadaan ketakutan.

Len Peneha, yang tinggal berjiran dengan masjid itu berkata, lelaki bersenjata itu kemudiannya dilihat keluar dari masjid dan menjatuhkan senjatanya di hadapan rumahnya sebelum berlalu pergi.

Peneha kemudiannya turut pergi ke masjid itu untuk menghulurkan bantuan.

“Saya lihat mayat di sana sini. Ada tiga di satu lorong, di pintu masuk masjid, dan di dalam masjid. Semacam tidak percaya ini boleh berlaku.

“Saya tak faham bagaimana orang boleh melakukan sebegini kepada orang lain. Ia tidak masuk akal,” katanya.

Katanya, dia membantu memberi rawatan kepada lima mangsa di rumahnya. Seorang daripadanya mengalami kecederaan ringan.

“Saya sudah lima tahun tinggal disebelah masjid ini. Penduduknya selama ini sangat baik, sangat peramah. Saya tak faham bagaimana ini boleh terjadi.”

Kata Peneha, lelaki bersenjata itu berkulit putih dan memakai topi keledar yang mempunyai alat di atas kepala, seakan-akan seperti anggota militari.

Terbaru, New Zealand Herald melaporkan terdapat kejadian tembakan kedua di satu lagi masjid di bandar raya itu, iaitu di Masjid Linwood.

Saksi memberitahu Herald, terdapat lima das tembakan dilepaskan dan seorang jemaah solat Jumaat dilihat turut membalas tembakan dengan menggunakan senapang.

Pihak polis masih mengadakan siasatan bagi mengenal pasti angka korban sebenar.

Dalam sejarah New Zealand, hanya terdapat sejumlah kecil kes tembakan berlaku di negara ini.



Sumber: cempedakcheese.com