SPM: ‘Kejayaan ini untuk arwah Pa’ – Nurul Alya

KEMAMAN – “Kejayaan ini saya hadiahkan buat arwah Pa (bapa),” kata Nurul Alya Shafiqa Zakari, yang memperoleh 7A dan 1B pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Kemaman itu berkata, tarikh 10 November 2016 masih segar dalam ingatan apabila arwah bapanya, Zakari Kasim dilaporkan hilang selepas bot dinaiki terbalik di Sungai Pinang, Chukai sebelum jenazahnya ditemui keesokan harinya.

Katanya, sejak itu, dia dibesarkan ibunya, Rozimah Idris, 47, di Kampung Tok Kapur, Binjai bersama dua abang serta seorang adik lelaki.

“Ketika kejadian, saya baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan belum mendapat keputusan lagi.

“Apabila mendapat keputusan, Mi (ibu) terpaksa menunggu dalam kereta kerana masih dalam edah dan saya bersyukur sangat kerana memperoleh 6A, 2B, 1C dan 1D.

“Memang terasa sunyi dan sentiasa teringat kepada arwah Pa. Bukan senang nak hilangkan perasaan sedih itu dan sudah pasti jika dia masih ada, dia akan gembira dengan pencapaian dalam SPM ini,” katanya.

Alya Shafiqa berkata, pada asalnya dia tidak menjangka akan memperoleh 7A dan 1B kerana hanya mendapat 4A dan 4B pada peperiksaan percubaan sebelum ini.

Menurutnya, menjelang peperiksaan sebelum ini, dia banyak mengikuti kelas tambahan, bangun seawal 4 pagi untuk mengulang kaji serta membuat nota supaya mudah mengingati sesuatu subjek.



Sumber: cempedakcheese.com