Status Hadith: Cintakan Dunia Puncak Segala Kejahatan

Posted on Wednesday, March 20, 2019 | 3/20/2019



Soalan:
Apakah status hadith ini?

حُبُّ الدُّنْيَا رَأْسُ كُلِّ خَطِيئَةٍ
“Cintakan dunia merupakan puncak kepada segala kejahatan.”

Jawapan:
Di dalam al-Quran diceritakan bahawa dunia merupakan tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke akhirat iaitu tempat yang kekal abadi. Berdasarkan firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di Akhirat kelak.” (Al-Syura:20)

Barangsiapa yang ingin beramal dan ingin mendapatkan ganjaran akhirat, maka Kami akan menguatkannya dan mengkayakannya serta memberinya ganjaran dengan sebaik-baiknya. Dan barangsiapa yang ingin mendapatkan keduniaan serta kebaikannya dan mengabaikan akhirat, maka Kami akan memberinya setakat yang telah ditetapkan (tidak ada penambahan) dan tidak tersisa baginya di Akhirat kelak. Orang mukmin yang sebenarnya dan menjaga (keimanannya) akan beramal untuk dunia dan juga akhirat (bukan beramal untuk dunia semata-mata). [Lihat: Tafsir al-Wasith, 2335/3]

Berdasarkan soalan di atas, terdapat satu lagi riwayat yang hampir sama dengan riwayat di atas sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi tetapi ia disandarkan kepada Nabi Isa AS iaitu:

كَانَ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ يَقُولُ: حُبُّ الدُّنْيَا أَصْلُ كُلِّ خَطِيئَةٍ
Adapun Nabi Isa AS berkata: “Cintakan dunia merupakan punca (asal) kepada segala kejahatan.” [Lihat: Syu’ab al-Iman, 74/13]

Selain itu juga, riwayat ini juga disandarkan kepada Malik bin Dinar sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Abi al-Dunia dan dikatakan juga ia adalah ucapan daripada Jundub al-Bajaliy yang merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 179-180/1]

Justeru itu, di sini kami akan menukilkan pandangan daripada para ahli ilmu berkaitan status hadith ini:

  • Imam al-Baihaqi (458 H) menghukum hadith ini sebagai mursal kerana beliau menyandarkannya kepada al-Hasan al-Basri terus kepada Rasulullah SAW tanpa melalui sahabat. [Lihat: Syu’ab al-Iman, 102/13]
  • Imam al-Saghani (650 H) menyatakan bahawa hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 37/1]
  • Imam al-Zarkasyi (792 H) mengatakan bahawa hadith ini bukan daripada Nabi SAW melainkan ia adalah ucapan daripada al-Hasan al-Basri. [Lihat: al-La’aliy al-Manthurah, 122/1]
  • Imam al-Iraqi (806 H) menilai hadith ini sebagai mursal daripada ucapan al-Hasan al-Basri. [Lihat: al-Mughni ‘an Haml al-Asfar, 1102/1]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari (1014 H) menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 180/1]

Setelah melihat kepada beberapa pandangan di atas, dapat kami simpulkan bahawa riwayat tersebut bukan daripada Nabi SAW dan ia merupakan ucapan daripada al-Hasan al-Basri dan hukumnya adalah Mursal.

Penutup

Kesimpulannya, hadith ini hukumnya adalah mursal dan sandarannya tidak sampai kepada Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta menjaga lidah kita daripada melakukan sebarang pendustaan di atas nama Nabi SAW. Amin.

Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 3/20/2019

0 comments:

Loading...