Syarikat perabot berdepan tindakan undang-undang kerana suruh pelanggan ‘PM tepi’

SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat perabot yang menjalankan perniagaan dengan menggunakan strategi pemasaran ‘PM tepi’ tanpa mendedahkan maklumat lengkap produknya membawa padah apabila dia bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Ini berikutan, strategi pemasaran ‘PM tepi’ tanpa menyatakan maklumat lengkap dalam sebarang urusan perniagaan berkaitan barang atau perkhidmatan adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 145 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azman Adam berkata, pihaknya menerima aduan daripada pihak awam mengatakan syarikat yang beroperasi di Seri Kembangan itu mengiklan produk tanpa mempamerkan maklumat termasuk harga.

“Bertindak atas maklumat, kita telah melakukan serbuan di premis tersebut dan mendapati syarikat ini menjalankan perniagaan menggunakan dua strategi iaitu atas talian melaluia Facebook serta jualan di premis.

“Kita telah berjumpa dengan pengarah syarikat berusia 41 tahun dan mengakui melakukan kesalahan tersebut. Tindakan di peringkat awal kita telah mengambil dokumen pengiklanan dan gambar produk bagi menjalankan siasatan sebelum tindakan lanjut dikenakan atas kesalahan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azman berkata, pemasaran ‘PM tepi’ tanpa memberikan maklumat lengkap adalah kesalahan serius berikutan pada tahun ini sehingga semalam sebanyak 1,279 aduan diterima yang mana 194 aduan adalah daripada perniagaan atas talian.

Jelasnya, pada tahun lalu 7,729 aduan telah diterima, yang mana 1,195 berkenaan barangan diterima lewat, tidak sama dan mengikut spesifikasi dinyatakan serta cacat.

Katanya lagi, KPDNHEP telah menetapkan antara maklumat perlu dipaparkan termasuk harga penuh barangan atau perkhidmatan termasuk bayaran cukai dan kos penghantaran; nama penuh perniagaan dan individu yang menjalankan perniagaan; nombor pendaftaran perniagaan; alamat penuh; nombor telefon dan emel perniagaan.

“Mereka juga perlu menyatakan maklumat penuh produk yang diterima dengan setiap pembelian atau perkhidmatan diberikan, selain maklumat bayaran lengkap, terma dan syarat jual beli serta anggaran tempoh masa produk akan dihantar.

“Kita tahu bahawa ini adalah strategi perniagaan tetapi mahu mendidik mereka supaya menjadi peniaga lebih beretika dan telus serta tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan hasil dari penyembunyian maklumat selain melindungi hak-hak pengguna,” ujarnya.

Tambahnya, syarikat perabot itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 (Perbadanan) atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya (Perseorangan) mengikut Seksyen 145 Akta Perlindungan Pengguna 1999. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com