Terengganu FC Berkampung Di Lembah Klang


TERENGGANU FC (TFC) bakal 'berkampung’ di Lembah Klang selama empat hari dalam misi memantapkan lagi pasukan dengan mengadakan dua aksi persahabatan bertemu pasukan Liga Perdana, UiTM FC dan UKM FC.

Ahad lalu, pemain skuad Penyu itu 'bertapa’ sehari di pusat pelancongan terkenal di negeri ini iaitu di Tasik Kenyir, Kuala Berang dengan matlamat untuk merehatkan minda selain memantapkan jati diri pemain. 

Ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim berkata, aksi persabahatan itu penting bagi memastikan anak buahnya sentiasa 'segar’ dan bertenaga dalam tempoh cuti Liga Malaysia (Liga M) ini.

“Tiga minggu rehat penting bagi pemain kami mengekalkan kecergasan dan momentum mereka dengan beberapa aksi persahabatan sebelum bertemu Selangor pada hujung bulan ini.

 “Namun apa yang kami harapkan pemain menggunakan sebaik mungkin aksi persahabatan itu bagi membentuk persefahaman dan kombinasi mantap antara pemain baharu dan sedia ada,” kata Irfan.

Isnin lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan nada gembira menyaksikan peningkatan skuad Penyu itu selepas enam perlawanan.

Bagaimanapun, Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menuntut barisan jurulatih skuad itu bekerja lebih keras bagi memantapkan lagi kombinasi antara pemain baharu dan sedia ada yang dilihat sedikit longgar dan belum serasi sepenuhnya.

Skuad TFC yang bakal berkunjung ke Stadium Shah Alam pada 29 Mac ini bertemu skuad The Red Giants dalam aksi ketujuh Liga Super bakal menguji skuad penuntut universiti, UiTM FC kendalian Ismail Zakaria di universiti itu malam ini.



Pada 23 Mac pula, skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu akan berkunjung ke Bangi bertemu naib juara Piala Cabaran musim lalu, UKM FC pada sebelah petang. - Harian Metro