Tiga beranak maut dirempuh bas, lori selamat dikebumikan

MACHANG – Jenazah tiga beranak yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan bas dengan motosikal di kilometer 1.9 Jalan Machang-Pasir Puteh di sini, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakat di sini pada jam 7 pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Mohd Azni Mohd Zakri, 34, serta dua anaknya iaitu Muhammad Aryan Ziqri, 7, dan Nur Amna Nafeesa, 5.

Isteri Allahyarham Mohd Azni, Laila Mohd Zazali, 31, berkata sebelum kejadian, suami dan kedua-dua anaknya itu mahu ke rumah ibu bapanya (Laila) di Kampung Kolam Abu di sini, untuk mengambil surat beranak Amna Nafeesa.

“Pada asalnya suami hanya mahu membawa Amna namun Muhammad Aryan Ziqri mahu mengikuti kedua-dua mereka kerana mahu bertemu dengan datuknya.

“Mereka keluar rumah pada jam 8 malam dan tiada apa-apa tingkah laku yang pelik,” katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan tersebut di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, semua mangsa meninggal dunia apabila sebuah bas dari arah Machang ke Pasir Puteh merempuh belakang motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.

Rempuhan itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa ke arah jalan bertentangan sebelum dirempuh oleh sebuah lori.

Laila, yang juga pembantu kedai makan berkata lebih menyedihkan kejadian tersebut telah meragut nyawa ketiga-tiga orang kesayangannya sekaligus.

“Saya cuma ada dua anak, saya perlu kuat semangat walaupun merindui telatah mereka selepas ini.

“Sebelum kejadian selepas solat Maghrib Nur Amna Nafeesa berkata kepada saya ‘adik anak syurga’ namun saya tidak menyangka dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya. – Bernama



Sumber: cempedakcheese.com