Tragedi masjid Christchurch: Tabloid Barat angkat kisah Tarrant berbanding mangsa serangan

Posted on Sunday, March 17, 2019 | 3/17/2019


LONDON, UNITED KINGDOM – Tabloid Barat terutamanya di United Kingdom (UK) dilihat lebih mengangkat kisah kemanusiaan pengganas kulit putih, Branton Tarrant berbanding puluhan mangsa yang terkorban dalam serangan dua masjid di New Zealand, kelmarin.

Setakat ini, 50 orang disahkan terkorban, puluhan lagi cedera dan 11 kritikal.

Rata-rata tabloid UK menyelami kehidupan zaman kanak-kanak Tarrant yang disifatkan sebagai budak baik dan kanak-kanak suci.

Lebih mengejutkan laporan muka hadapan tabloid Daily Mirror dalam perenggan pertamanya menyifatkan Tarrant sebagai individu rajin dan bekerja keras.

Malah, tabloid berkenaan berkata bekas jurulatih kecergasan warga Australia itu adalah lelaki penyayang yang memberikan program kesihatan percuma kepada kanak-kanak.

Ironinya, semasa serangan di Masjid Al Noor yang disiarkan secara langsung di media sosial, Tarrant turut menembak mati beberapa orang kanak-kanak di ruang solat.

Pendekatan tidak sensitif tabloid berkenaan menerima cemuhan ramai termasuk kolumnis Britain, Owen James.

Menurut James, laporan tabloid berkenaan telah mengalih fokus sebenar yang sepatutnya diberikan kepada mangsa.

James berkata, Tarrant layak dipanggil pengganas.

“Jangan harap surat khabar menyiarkan foto zaman kanak-kanak penjenayah Muslim dan menggelar mereka budak baik jika melakukan jenayah sama seperti Brenton Tarrant,” katanya.

Pandangan sama disuarakan wartawan dan penyampai BBC, Shaimaa Khalil yang mengkritik Daily Mail apabila menyifatkan Tarrant sebagai lelaki kulit putih biasa.

“49 nyawa melayang dan anda hidangkan kami kisah Tarrant, cukup-cukuplah,” katanya.

Seperti Daily Mirror dan Daily Mail, beberapa tabloid di Australia turut dikritik kerana memberi tumpuan kepada Tarrant berbanding tragedi sebenar di Christchurch. – Agensi



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 3/17/2019

0 comments: