Undi dalam talian mungkin dilancar tahun ini – SPR

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun memaklumkan seramai 3.7 juta rakyat Malaysia yang belum mendaftar sebagai pengundi boleh berbuat demikian secara dalam talian dalam masa terdekat.

Menurutnya, SPR akan melancarkan aplikasi dalam talian itu pada tahun ini dan setakat ini, ia sedang dibangunkan dan berada dalam fasa terakhir.

Tambah beliau, ia bukanlah tugas mudah kerana pihaknya perlu mendapatkan maklumat daripada pihak berwajib bagi memastikan pendaftar layak untuk mengundi.

“Sebagai contoh, mereka yang menjalani hukuman penjara lebih daripada 12 bulan pada masa pendaftaran tidak layak untuk mengundi.

“Kita perlu selaraskan dengan semua pihak berkuasa yang terlibat sebelum ia dapat dilaksanakan. Begitupun, kita pandang serius perkara ini,” katanya dalam wawancara bersama stesen radio BFM, semalam.

Tambah beliau, SPR juga sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan e-voting yang akan memendekkan masa proses pengundian bagi seorang pengundi.

Menurutnya, seorang pengundi mengambil masa dua minit dari masa mereka memeriksa nama dengan pegawai SPR hinggalah sampai ke tempat mengundi.

“Ada dua kaedah untuk e-voting. Pertama, mengundi dalam talian di mana pengundi tidak perlu hadir ke pusat mengundi dan satu lagi menggunakan alat elektronik di mana pengundi masih perlu datang ke pusat mengundi.

“Daripada menggunakan kertas undi, anda menggunakan mesin. SPR juga bekerjasama dengan pakar untuk mengkaji sistem tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, SPR juga akan cuba memendekkan masa memeriksa nama pengundi secara manual dengan beralih menggunakan kaedah elektronik selepas ini.



Sumber: cempedakcheese.com