Akibat Ingkar Arahan Roh Jahat Menghantui Penyewa Homestay


Melihatkan treler filem ini, karakter Ruminah Sidek yang ditampilkan sudah cukup memberikan aura seram dalam sebuah filem.

Siapa yang tidak gemarkan filem genre seram, bila melibatkan penonton di Malaysia? Tahu dengan kehendak masyarakat yang sentiasa dahagakan filem jenis tersebut, maka lahirlah karya terbaharu ini.

Filem bertajuk Homestay Permainan Maut ini diarahkan Kay Shan dan diterbitkan oleh Dream Pix Media Sdn Bhd dan SB Production Sdn Bhd.

Bayangkan suatu malam ketika anda bersama rakan menginap di sebuah homestay yang agak misteri, tiba-tiba diganggu dengan roh jahat yang membawa kepada kematian.

Trailer:


Mimpi ngeri itulah yang terjadi kepada pelajar kolej yang menyewa sebuah homestay. Meskipun sudah diberi amaran oleh pemilik homestay agar tidak ‘mengusik’ bilik stor, namun mereka tetap berdegil.

Waktu itulah mereka menemui permainan maut itu yang lebih dikenali sebagai Spirit of the Coins. Dalam permainan tersebut mereka menyeru nama pemilik permainan tersebut dan keinginannya. Dari arah syIling menunjukkan nama pemilik adalah Sofea.

Dikatakan roh Sofea ini berkehendakkan nyawa sebagai gantinya. Bermula dari situ, satu persatu kejadian menakutkan berlaku kepada pelajar kolej ini. Adakah mereka selamat dan bagaimana mereka melepaskan diri daripada permainan maut ini akhirnya?

Filem yang turut diselitkan dengan elemen komedi ini bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi. Selain penuh dengan adegan mengejutkan pastinya anda juga bakal tidak kering gusi.

Di samping Ruminah Sidek, filem ini turut dibarisi pelakon baru seperti Sofea Shaheera, Asward Naslim, Kayshan, Siva Garuda, Ud. Nordin, Iswadi, Syamimi, Sri Priya, Rohayu, Danish, Md. Afifi, Kimi, Aien, Ahmad Azeem dan Zahanis Yaakob.

Jika anda mahu sebuah naskhah yang menghiburkan, jangan lupa tonton Homestay Permainan Maut bermula 18 April 2019 ini di semua pawagam seluruh Malaysia.
Sumber: Oh! Media