Banyak Hilang Bola Punca Terengganu FC Tewas


KEGAGALAN menguasai rentak permainan pada babak pertama dan ketinggalan tiga gol pada awal babak kedua menyukarkan peluang Terengganu FC (TFC) bangkit menyaingi Kedah apabila mereka tewas 0-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman kelmarin.

Penolong ketua jurulatih TFC Mohd Nik berkata, beliau kecewa apabila skuadnya banyak 'hilang bola' di bahagian tengah terutama pada babak pertama dan seterusnya gagal menyekat serangan bahaya Kedah.

"Kegagalan itu menyebabkan Kedah berjaya mendapatkan dua gol pada babak pertama hasil kesilapan pemain TFC sendiri iaitu satu penalti dan satu lagi kesilapan pertahanan."

"Bagaimanapun saya tetap memuji pemain yang berjaya bangkit terutama pada babak kedua namun dalam keadaan kita menyerang kita pula membuat kesilapan dan Kedah berjaya ambil peluang untuk lakukan serangan balas."

"Corak permainan pada babak kedua merupakan falsafah telah kita diterapkan dengan aksi laju, namun saya tengok Kedah memiliki pemain yang lebih baik dan berkualiti," katanya yang turut terasa kehilangan pemain tengahnya Lee Tuck yang tidak beraksi akibat kecederaan.

Mohd Nik juga mengakui TFC tidak mengharapkan sepenuhnya sentuhan penyerang berstatus bintang Kipre Tchetche yang dilihat masih belum mempamerkan rentak berkualitinya dalam usaha memburu gol kelmarin.

"Bukan kita bergantung kepada Tchetche sahaja pada malam ini (kelmarin) kerana saya lihat Tchetche sudah berusaha mencuba untuk beri 'sesuatu' pada pasukan tapi tak berhasil."

"Dalam masa yang sama Tchetche sudah diberi amaran kedua dan pihak pengurusan kini memberi peluang tiga perlawanan kepadanya untuk kembali meningkatkan prestasi sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya."

"Tiga perlawanan dimaksudkan bermula dengan perlawanan menentang PKNP FC minggu lalu, jadi tinggal satu lagi perlawanan untuk Piala FA selepas ini bagi Tchetche membuktikan prestasinya.” - Harian Metro