'Biar saya susah, jangan anak tak sekolah' - Kisah inspirasi Pemandu Grab OKU buat netizen insaf

Posted on Tuesday, April 16, 2019 | 4/16/2019



Ada di kalangan kita yang sihat tubuh badannya, yang sempurna anggota badan dan akal pemikirannya tetapi malas bekerja dengan hidup mengharapkan ehsan orang. 

Tetapi tidak bagi Pemandu Grab ini, Galang anak Jabai. Biarpun kudung akibat kemalangan jalan raya 16 tahun lalu, keadaan itu tidak dijadikan sebagai alasan untuk menagih simpati orang. Sebaliknya dia berusaha mencari perkerjaan untuk berdiri di kaki sendiri menanggung keluarganya.

Manfaatkan perkongsian kisah inspirasi ini dari Hafizul Hakim. 

MALAM tadi tiba lewat di Lapangan Terbang Kuching. Dah lebih pukul 10.00 malam. Saya ambil Grab, tak nak susahkan isteri. Lagipun esok kena bangun awal hantar anak-anak ke sekolah.

Kurang dari 5 minit, kenderaan ditempah tiba. Kereta AXIA putih, pemandu ini bernama Galang anak Jabai. Tambang cuma RM14, murah berbanding teksi.

Dalam perjalanan, keadaan seperti biasa hinggalah pemandu nak tekan ‘wiper kereta’ di traffic light. Dia guna tangan kanan, walhal lebih senang guna tangan kiri. Kemudian masa tukar gear dia masih guna tangan kanan. Eh ini dah lain. Saya curi-curi pandang dan rupanya pemandu saya Orang Kurang Upaya (OKU) kudung tangan sebelah kiri.

“Boleh saya tahu kenapa dengan tangan awak. Memang sejak lahir kudung?” tanyaku untuk kepastian.

“Eh bukan bang. 16 tahun lepas, saya kerja sebagai kelindan lori. Insiden berlaku di Bintulu, lori treler kami berlanggar dengan sebuah lagi treler yang sedang membelok. Pemandu sempat tekan brek tapi putus. Terus merempuh belakang treler, tangan terputus ‘on the spot’.

“Ingatkan dah mati waktu itu. Darah banyak mencurah-curah keluar,” jawabnya sambil tersenyum.

“Perghh! Awak pengsan ke masa eksiden tu?” seram sejuk dah aku dengar story dia. Baru nak menguap, terus tak jadi.

“Tak pengsan bang. Masa itu kepala lori dah terbalik, tangan saya tersepit pada pintu lori. Darah memang banyak. Bukan ajal saya lagi.” 

Fuhh! Aku boleh bayangkan betapa dahsyatnya saat kejadian itu terjadi. Hilang terus rasa mengantuk bila mendengar cerita dia. Aku alih topik.

“Awak buat GRAB sepenuh masa ke? Orang lain sempurna sifat pun masih lagi malas-malas. Tak ada inisiatif nak cari duit.” kataku.

“A'ah, saya buat full time. Senang sikit atur jadual sebab pagi perlu hantar anak ke Tadika. Sekarang ni tak dapat nak harap bantuan orang lain, sendiri kena usaha. Biar saya kudung, tapi itu bukan alasan saya pengemis. Saya sekolah tak tinggi, tapi tak mahu anak ketinggalan pelajaran. Mana tahu anak saya nanti jadi orang berjaya,” jawabnya bersungguh.

Biar saya susah tapi jangan anak tak sekolah. Memang sudah menjadi tanggungjawab sebagai seorang bapa. Bukan cari kemewahan, tapi memang lumrah keperluan hidup,” ujarnya lagi.

Tangannya putus sejak usia 17 tahun. Hampir 16 tahun selepas insiden, masih gagah pertahankan maruah sebagai seorang lelaki.

Sampai di depan rumah saya hulurkan duit nota merah dua keping.

“Simpan baki, buat hadiah anak,” kami bersalaman. Tanda respek kepada beliau. Kalau berada di tempatnya, entah apa jadi pada saya. Harap jadi setabahnya.

Kawan-kawan,

Ada hikmah kami berdua ditemukan. Terkadang kita rasa, kitalah yang paling bersusah payah sebagai ketua keluarga. Tapi rupanya ada lagi yang lebih sukar keadaannya. Andai kita seorang yang jenis tak henti-henti komplen, lihat semula keadaan diri bandingkan dengan keadaan Encik Galang. Ia adalah bukti bahawa jadi cacat bukan alasan untuk meraih simpati.

Sepatutnya kita lebih kuat, bertenaga dan buat kerja lebih mudah. Ia berbalik kepada sikap. Malas atau rajin. Nak atau tak nak saja lagi. Kerajinan akan datang jika kita ada rasa tanggungjawab dan punya kasih sayang tulus dari hati.

Ramai orang dapat manfaat dari GRAB. Banyak yang saya jumpa orang lepas pencen dan ini kali pertama jumpa pemandu OKU. Teknologi terkini mudahkan ramai orang ada pilihan sebagai penumpang atau mereka yang nak cari pendapatan sampingan.

Benda paling aku bersyukur, lahir dalam keluarga biasa, diajar untuk hidup susah dan berusaha sendiri tanpa perlu mengeluh.

Terima kasih Galang, saya terinspirasi dengan cabaran hidup awak lalui. Saya doakan rezeki anda sentiasa ada. Moga jadi pengajaran buat kita semua.

Agi idup, agi ngelaban.

“We delight in the beauty of the butterfly, but rarely admit the changes it has gone through to achieve that beauty.”

Pagi yang terindah.


Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 4/16/2019

0 comments:

Loading...