‘Hanya jumpa kasut’ – Budak 10 dikhuatiri lemas di Sungai Manir

KUALA TERENGGANU – Budak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh di Sungai Manir, di sini malam ini.

Murid tahun empat itu dikatakan tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang hari ini sebelum bapanya berikhtiar mencari anaknya di kawasan sungai berkenaan.

Bapa mangsa yakin anaknya terjatuh di sungai itu apabila menemui kasut milik anaknya di kawasan sungai berhampiran dengan Balai Polis Manir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.24 malam.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan dan mencari saksi bagi mengesahkan kejadian sebagaimana yang didakwa bapa mangsa.

“Bagaimanapun, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui kasut yang didakwa bapa terbabit milik anaknya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Susulan itu, katanya, sepasukan anggota bersama satu jentera bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat (SAR).



Sumber: cempedakcheese.com