Hati Berasa Gelisah Walaupun Sudah Bertaubat Daripada Zina

Posted on Sunday, April 14, 2019 | 4/14/2019



Soalan:
Saya berumur 18 tahun, belum berkahwin dan telah melakukan zina. Saya amat kesal dengan perbuatan tersebut, serta saya telah pun melakukan solat sunat taubat. Walau bagaimanapun, saya tidak merasa tenang dan saya sering merasakan saya masih hamba Allah yang berdosa besar. Saya merasa jijik terhadap diri sendiri. Adakah jalan penyelesaian terbaik untuk saya dengan mengambil hukuman sebatan? Jikalau ya, bagaimana saya boleh mendapatkan sebatan tersebut?

Jawapan:
Pengertian zina adalah persetubuhan haram di!antara lelaki dan wanita yang tidak memiliki ikatan perkawinan yang sah. Agama Islam melarang kepada umatnya daripada melakukan zina bahkan percubaan untuk mendekatinya juga dilarang. Perbuatan ini merupakan satu dosa besar bahkan kemudaratannya akan menyebabkan kepincangan institusi masyarakat terutamanya keluarga sendiri.

Dalam erti kata yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942).

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’: 32)

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, isu ini kelihatan mirip sepertimana kisah yang pernah berlaku di zaman Baginda Nabi SAW. Kisah diantara Maiz bin Malik yang datang bertemu Nabi SAW untuk dihukum.

Sabda Nabi SAW:

جَاءَ مَاعِزُ بْنُ مَالِكٍ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ طَهِّرْنِي ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ وَيْحَكَ ارْجِعْ فَاسْتَغْفِرِ اللَّهَ وَتُبْ إِلَيْهِ ‏"‏ ‏قَالَ فَرَجَعَ غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ طَهِّرْنِي ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ وَيْحَكَ ارْجِعْ فَاسْتَغْفِرِ اللَّهَ وَتُبْ إِلَيْهِ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ فَرَجَعَ غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ طَهِّرْنِي ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مِثْلَ ذَلِكَ حَتَّى إِذَا كَانَتِ الرَّابِعَةُ قَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ فِيمَ أُطَهِّرُكَ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ مِنَ الزِّنَى ‏.‏
Ma'iz telah mendatangi dan menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Ya Rasulullah, sucikanlah aku.” Rasulullah menjawab: “Celakalah engkau, pulanglah, dan bertaubatlah kepada Allah SWT.” Ma'iz pun bergerak pulang tetapi tidak lama daripada itu, dia datang semula dan berkata: “Ya Rasulullah, sucikanlah aku”, maka Rasulullah SAW menjawab: “Celakalah engkau, pulanglah, pohonlah keampunan Allah SWT, dan bertaubatlah kepada-Nya.” Ma'iz pun bergerak tetapi kemudian dia datang semula: “Ya Rasulullah, sucikanlah aku.” Rasulullah SAW pun menjawab seperti sebelumnya sehinggalah kali yang keempat. Lalu Rasulullah bertanya: “Untuk hal apa aku perlu sucikan diri mu?” Ma'iz menjawab: “Daripada dosa zina.”

فَسَأَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ أَبِهِ جُنُونٌ ‏"‏ ‏.‏ فَأُخْبِرَ أَنَّهُ لَيْسَ بِمَجْنُونٍ ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ أَشَرِبَ خَمْرًا ‏"‏ ‏.‏ فَقَامَ رَجُلٌ فَاسْتَنْكَهَهُ فَلَمْ يَجِدْ مِنْهُ رِيحَ خَمْرٍ ‏.‏ قَالَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ أَزَنَيْتَ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ نَعَمْ ‏.‏ فَأَمَرَ بِهِ فَرُجِمَ فَكَانَ النَّاسُ فِيهِ فِرْقَتَيْنِ قَائِلٌ يَقُولُ لَقَدْ هَلَكَ لَقَدْ أَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ وَقَائِلٌ يَقُولُ مَا تَوْبَةٌ أَفْضَلَ مِنْ تَوْبَةِ مَاعِزٍ أَنَّهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَوَضَعَ يَدَهُ فِي يَدِهِ ثُمَّ قَالَ اقْتُلْنِي بِالْحِجَارَةِ - قَالَ - فَلَبِثُوا بِذَلِكَ يَوْمَيْنِ أَوْ ثَلاَثَةً
Lalu Rasulullah bertanya kepada orang yang berada disekelilingnya: “Adakah dia seorang yang gila?” Sahabat itu menjawab bahawa Ma'iz seorang yang waras. Rasulullah bertanya lagi: “Adakah dia minum arak?”, lalu seorang lelaki bangun dan menghidu bau mulut Ma'iz dan mendapati tiadanya bau arak. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada Ma'iz: “Adakah engkau telah berzina?” Ma'iz pun menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah SAW menyuruh agar dia direjam. Ketika itu para sahabat menjadi dua kelompok. Seorang sahabat berkata: “Habislah dia, dosa-dosanya telah menyelubungi dirinya.” Sahabat yang lain pula berkata: “Tidak ada taubat yang lebih afdhal daripada taubat Ma'iz.” Dia datang kepada Nabi SAW, lalu meletakkan tangannya di atas tangan baginda, kemudian berkata: “Bunuhlah aku dengan rejaman batu.” Kemudian hal itu ditangguhkan sehinga dua atau tiga hari.

ثُمَّ جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُمْ جُلُوسٌ فَسَلَّمَ ثُمَّ جَلَسَ فَقَالَ ‏"‏ اسْتَغْفِرُوا لِمَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ فَقَالُوا غَفَرَ اللَّهُ لِمَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ ‏.‏ - قَالَ - فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ لَقَدْ تَابَ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ أُمَّةٍ لَوَسِعَتْهُمْ ‏"‏
Kemudian Rasulullah SAW datang kepada para sahabat yang sedang duduk lalu memberikan salam kepada mereka seraya berkata: “Mohonlah keampunan untuk Ma'iz bin Malik.” Lalu para sahabat pun menyebut: “Semoga Allah SWT mengampuni Ma'iz bin Malik.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dia telah bertaubat, yang mana jika taubat itu dibahagi-bahagikan kepada seluruh umat, ia cukup untuk mereka semua.”




Melalui kisah tersebut, walaupun diri merasa berdosa dan berasa takut akan taubat yang dipohon tidak akan diterima, tetapi keutamaannya adalah, Nabi SAW menyuruh mereka yang melakukan zina untuk bertaubat secara bersungguh-sungguh kerana ingatlah bahawa sifat Rahman dan Rahim Allah SWT itu Maha Agung.

Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
“Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Sebagai kesimpulan, taubat yang dilakukan tersebut hendaklah benar-benar dilakukan dengan sepenuh hati dan perasaan juga keinsafan yang sesungguhnya. Bukan hanya menyebut istighfar semata-mata sedangkan hati masih ingin berterusan melakukan maksiat. Taubat nasuha dan bertekad untuk meninggalkan dosa dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa hadapan.

Firman Allah SWT:

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا
“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’: 110)

Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 4/14/2019

0 comments: