Jemaah bantah tindakan MPKK pecat imam, bilal masjid di Marang

MARANG – Kira-kira 200 jemaah Masjid Kampung Mak Kemas, Bukit Payong dekat sini membantah tindakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tersebut yang didakwa cuba memecat ahli jawatankuasa (AJK) pengurusan masjid yang lama termasuk imam dan bilal tanpa sebarang perbincangan.

Sambil menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak wajar, rata-rata jemaah masjid melahirkan rasa kesal dan berharap supaya kerajaan negeri terutama pejabat agama daerah dapat menyelesaikan segera masalah yang boleh meretakkan perpaduan dalam kalangan penduduk kampung itu.

Wakilnya, Md. Sulong Jusoh berkata, tindakan MPKK mengemukakan senarai nama bagi pelantikan AJK baharu masjid tanpa memanggil atau berbincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan lama mengejutkan banyak pihak.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan saya mewakili jemaah masjid meminta supaya pejabat agama dapat main peranan sebagai orang tengah untuk memperbetulkan keadaan.

“Kami berharap pemilihan AJK pengurusan masjid dapat dilakukan secara terbuka dengan memberi peluang kepada para jemaah yang membuat pemilihan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas selesai Solat Jumaat di sini semalam.

Bagi AJK lama masjid itu, Bizan Abdullah pernah mencadangkan agar pihak MPKK menyenaraikan lapan daripada 16 orang AJK lama bagi menguruskan pentadbiran masjid malangnya, permintaannya bahkan, turut tidak dibincangkan.

Katanya, lebih dikesalkan apabila kalangan senarai nama AJK baharu yang ingin dilantik itu tidak pernah menjadi jemaah di masjid tersebut.

“Kami membuat bantahan ini kerana MPKK cuba bermain politik dengan menyenaraikan nama AJK baharu dan akan bertindak memecat kesemua AJK lama sedangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd. Nor Hamzah pernah memberi jaminan mengatakan semua AJK pengurusan masjid yang tidak bermasalah akan dikekallkan.

“Tindakan luar dugaan ini menyebabkan kami terkejut terutama apabila imam lama masjid ini, Ngah Muda turut menjjadi mangsa MPKK sehingga terpaksa berdepan dengan fitnah,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com