Liga Super: TFC mangsa amukan ketiga PKNP FC

TERENGGANU FC menjadi mangsa ketiga amukan pasukan berstatus kelab PKNS FC apabila mudah menjinakkan cabaran tuan rumah 2-1 pada aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Pada pertemuan itu, skuad Penyu terlebih dahulu mencemaskan pelawat menerusi ‘ayam tambatan’ Kipre Tchetche seawal minit ketujuh hasil hantaran Sanjar Shaakhmedov namun rembatannya diselamatkan benteng pertahan PKNP FC.

Begitupun percubaan itu tidak melemahkan semangat skuad kendalian Wong Hoon Cham apabila turut berpeluang membuka jaringan enam minit selepas itu tetapi sepakan lemah M Ganesan mudah didakap kemas Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Kedua-dua pasukan menggandakan rentak permainan dan PKNP sekali lagi berpeluang memecahkan kebuntuan gol menerusi penyerang importnya pada minit ke-31 namun tandukan Giancarlo Lopes Rodrigues berjaya dinafikan penjaga gol TFC.

Usaha tuan rumah dalam mengekang asakan bertali arus jentera serangan pelawat ke pintu gol akhirnya mengudang padah apabila PKNP FC dihadiahkan sepakan penalti selepas Ahmad Syamim Yahya dipersalahkan kerana menjatuhkan M Ganesan pada minit 44.

Peluang keemasan itu dimanfaatkan dengan cemerlang Lopes Rodrigues apabila mudah menewaskan Wan Muhammad Azraie untuk gol pembukaan PKNP FC seminit selepas itu.

Bersambung babak kedua, PKNP FC tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukkan apabila Lopes Rodrigues sekali lagi membuktikan kemampuan sebenarnya selaku peledak kem tuan rumah dengan meledakkan gol kedua pasukan pada minit ke-46.

Tersentak dengan jaringan kedua itu, kem tuan rumah cuba bangkit untuk merapatkan jurang kedudukan dan Ahmad Syamim akhirnya berjaya menebus kesilapannya apabila mudah menewaskan penjaga gawang PKNP pada minit ke-72 untuk gol pembukaan TFC.

Bagaimanapun usaha skuad Penyu dalam mencari jaringan penyamaan untuk berkongsi satu mata menemui jalan buntu apabila PKNP terus mempertahankan kemenangan ketiga mereka dengan kedudukan 2-1 sehingga tamat perlawanan.



Sumber: cempedakcheese.com