Memang Patut Kami Kalah - Tengku Hazman

Jawatan Memang Patut Kami Kalah - Tengku Hazman

JURULATIH Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan kecewa melihat prestasi terburuk anak buahnya yang gagal meneruskan rentak kemenangan dalam aksi Liga Perdana selepas dimalukan Sarawak di laman sendiri malam tadi.

Malah bekas pemain kebangsaan itu juga kecewa kerana rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri lebur dilibas skuad Bujang Senang apabila kalah 1-2 ketika penguasaan bola terutama pada babak pertama menjadi milik tuan rumah.

“Perlawanan malam ini (malam tadi) boleh saya simpulkan sebagai aksi paling teruk pernah saya lihat setakat ini dengan semuanya tidak menjadi termasuk tidak ada keyakinan diri.

“Lambakan peluang yang terhidang mereka tidak manfaatkan sebaik mungkin dengan cara permainan malam ini kami patut kalah, ini kerana saya lihat semua posisi tidak bermain seperti yang diharapkan.

“Sepatutnya kami boleh jaring empat gol pada babak pertama, tapi apabila lawan menyamakan kedudukan pemain kami sedikit tertekan dan tidak lagi bermain sebagai satu pasukan sebaliknya secara individu dan tidak mengikut apa yang dirancang.”

Pada perlawanan itu, TFC II mendahului pada minit ke-16 menerusi kapten, Akanni Sunday Wasiu sebelum lawan bangkit meledak dua gol menerusi pemain import Hudson de Jesus pada minit ke-39 dan 75 sekali gus meranapkan impian tuan rumah mengutip sekurang-kurangnya satu mata. - Harian Metro