‘Orang India kena undi calon India di Rantau’ – Menteri DAP

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran didakwa meminta kepada pengundi berbangsa India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau supaya mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau esok.

Menurut Naib Pengerusi DAP itu, Streram mempunyai peluang yang baik kerana DUN Rantau mempunyai kira-kira 28 peratus pengundi India dan mereka perlu mengundi Streram bagi memastikan kehidupan mereka menjadi lebih baik.

“Kalau tidak macam mana boleh saya tunjuk muka nanti kalau Sabtu ini, kalau kaum saya, keturunan saya (kalah). Ini untuk Streram, kaum kita sendiri.

“Kita kaum yang sama, darah yang sama. Jadi, apa akan terjadi kalau kita tidak beri sokongan untuk kaum kita sendiri?” katanya dalam sebuah video yang tular dalam media sosial hari ini.

Dalam video tersebut, Kula Segaran dilihat sedang menyampaikan ceramah untuk kempen PH bagi PRK DUN Rantau. Beliau juga turut menyebut nama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipercayai turut berceramah pada malam itu.

Dalam video tersebut, Kula Segaran yang bercakap dalam bahasa Tamil turut beberapa kali membangkitkan isu penyelewengan oleh Barisan Nasional (BN) dan calonnya, Datuk Seri Mohamad Hasan termasuk isu pembelian rumah bernilai RM10 juta di luar negara beberapa tahun lalu.

Beliau malah mendakwa, masyarakat India perlu terus membantu pemimpin berbangsa India supaya mereka boleh menyelesaikan masalah masyarakat itu.

“Semasa saya jadi menteri, banyak masalah dibawa kepada saya sebenarnya boleh dibawa kepada menteri Cina (dan) Melayu tetapi mereka tidak akan pergi. Apa sebabnya, mereka rasa gembira kalau datang kepada menteri India.

“Banyak kali saya pernah datang ke Rantau. Dekat sini ada banyak kedai Cina dan Melayu tetapi saya tidak suka makan di sana. Kita akan ke kedai orang Tamil saja,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com