'Saya bagi tempoh hingga malam ini' - Fizz Fairuz teruskan saman jika Makcik Puaka tak muncul di sidang media esok


Pelakon Datuk Fizz Fairuz memberi tempoh sehingga malam ini untuk individu di sebalik Instagram Makcik Puaka untuk membuat keputusan sama ada hadir bersemuka dan memohon maaf padanya di sidang media esok. 

Fizz menegaskan, pertemuan dan tuntutan itu bukan mahu mengaibkan 'Makcik Puaka' tetapi mahu berbincang bagi menyelesaikan masalah tersebut. 

"Walaupun permohonan maaf sudah dihantar individu berkenaan secara mesej langsung (DM) kepada saya di Instagram, ia tak dapat diterima melainkan dirinya tampil juga bersemuka dengan saya," kata usahawan berusia 40 tahun itu. 

"Saya sudah 70 peratus mengenal pasti siapa individu sebenar di sebalik nama makcik puaka ini. Jadi, saya mahu kami bersemuka. 

"Disebabkan itu, saya masih ada pertimbangan untuk dia tampil bertemu dan memohon maaf pada sidang media yang dirancang esok. 

"Bagaimanapun, hingga kini individu berkenaan masih berdiam diri dan jika tiada sebarang jawapan daripadanya hingga malam nanti, saya akan membuat laporan polis esok juga," katanya kepada media hari ini.

Menurut Fizz, tempoh seminggu telah diberi kepada makcik puaka yang juga terbabit dalam industri hiburan tempatan, tetapi sehingga kini peluang untuk perbincangan damai itu masih tidak mendapat respon dan individu itu bakal berdepan dengan tindakan undang-undang. 

Fizz menegaskan, dia bertindak sedemikian kerana maruah, nama dan imejnya yang tercemar ekoran tindakan individu terbabit menyebarkan fitnah tersebut. 

"Dia sudah tidak boleh nak lari mana. Identiti sebenar dia, saya tahu. Jadi, datanglah bertemu dengan saya pada sidang media dirancang. 

"Tujuan saya, untuk menyelesaikan apa yang berlaku secara baik dan cepat. Bukan hendak merumitkan lagi keadaan. 

"Saya ada ibu, isteri, anak dan keluarga. Begitu juga dengan karier serta tanggungjawab saya pada status 'Datuk' yang disandang ini. 

"Dengan fitnah tidak betul ini, ia begitu memberi impak kepada saya, keluarga, imej dan karier. Jadi, mohonlah maaf secara terbuka dengan sama-sama kita bersemuka," katanya. 


Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my