'Saya sudah beri peluang, namun disia-siakan' - Fizz Fairuz buat laporan polis, nekad saman Makcik Puaka

Posted on Tuesday, April 16, 2019 | 4/16/2019



Tempoh dan peluang sudah diberikan untuk tampil memohon maaf secara lisan dan bersemuka, namun peluang itu tidak dimanfaatkan oleh 'Makcik Puaka' menyebabkan pelakon Datuk Fizz Fairuz nekad membuat laporan polis terhadap individu di sebalik akaun tersebut. 

Fizz atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Zainal Abidin, 39, menyifatkan keengganan 'Makcik Puaka' itu tampil memohon maaf seperti mahu mencabar amarannya sebelum ini. 

"Tempoh peluang untuk individu terbabit membuat permohonan maaf secara lisan atau berjumpa dengan saya dalam menyelesaikan isu ini secara baik sudah tamat jam 12:00 tengah hari tadi. 

"Jadi, atas nasihat peguam saya, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul sebentar tadi, jam 2:00 petang.

"Saya tidak mahu membuka aib mana-mana pihak, namun dia (Makcik Puaka) mengabaikan tempoh lebih seminggu bermula 7 April lalu yang saya berikan. 

"Saya sudah cuba bertolak ansur, namun dia seakan mencabar amaran yang diberikan. Jadi, kini tiba giliran pihak polis untuk menyelesaikan isu ini mengikut undang-undang," katanya memetik laporan dari mStar Online

Fizz juga berkata, dia nekad untuk mengheret individu terbabit ke muka pengadilan dan buat masa ini dia belum ada 'mood' untuk memaafkan individu itu. 

"Saya tidak mampu nak berkata apa ketika ini. Saya sudah beri peluang, namun disia-siakan," katanya.

Dalam sidang media semalam, Fizz mendedahkan individu terbabit merupakan orang dalam industri hiburan dan dia sudah mengetahui 70 peratus mengenainya. 

Fizz juga menjelaskan bahawa maruahnya, karier, reputasi dan imej diri dan keluarganya terjejas disebabkan fitnah itu.  


Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 4/16/2019

0 comments: