Terengganu FC Sangkal Dakwaan Guna Taktik Lapuk

Posted on Monday, April 15, 2019 | 4/15/2019



KUALA TERENGGANU: Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik menafikan skuadnya dihimpit masalah dalaman sehingga menghantui prestasi pemainnya ketika tewas dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super.

Beliau juga kurang senang dengan tanggapan segelintir peminat yang berpandangan pemain skuadnya melakukan `protes senyap’ sehingga gagal mengutip sebarang mata ketika bertemu Selangor, PKNP FC dan terbaharu menjadi mangsa Kedah.

Dalam pada itu, bekas pemain tengah skuad kebangsaan itu menafikan taktikal yang diterapkan barisan jurulatih skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu sudah lapuk dan mudah dibaca pihak lawan sehingga menyukarkan pemain memburu jaringan.

Sebaliknya Mohamad Nik menyatakan sikap sesetengah pemainnya yang tidak bermotivasi dan bersikap terlalu yakin dikenal pasti antara faktor menyebabkan skuad itu tersungkur pada tiga aksi berkenaan.

“Sebagai jurulatih, saya mengambil tanggungjawab kekalahan ini tetapi ingin saya tegaskan pemain tidak melakukan protes ketika tewas dalam tiga perlawanan terakhir itu, malah tiada masalah dalaman yang melanda pasukan.

“Tetapi faktor tidak bernasib baik selain ada sesetengah pemain yang kurang bermotivasi tinggi dan gagal menyerlah ketika beraksi menyebabkan kita tewas dalam tiga pertemuan itu.

“Selain itu ketiadaan pemain tengah, Lee Tuck yang mengalami kecederaan di bahagian belakang badan selain ketumpulan jentera serangan yang diketuai Kipre Tchetche menyebabkan kita gagal menghasilkan jaringan,” ujar Mohamad.

Pada tiga aksi terdahulu naib juara piala Malaysia musim lalu itu tewas 0-1 kepada Selangor di Stadium Shah Alam, diikuti PKNP FC 1-2 di tempat sendiri dan terakhir di tangan Kedah 0-3 di Stadium Darul Aman.

Berdasarkan kedudukan terkini daripada sembilan perlawanan, skuad itu hanya mampu mengutip sembilan mata dan berada di tangga kesembilan liga.

Mengulas lanjut, Mohamad menuntut anak buahnya melupakan episod duka itu sebaliknya perlu tampil dengan bertenaga bertemu Kelantan United pada Selasa ini dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.

“Biar pun tanpa ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim yang masih berkursus, saya gesa pemain bangkit dan mengambil peluang ini untuk melangkah ke pusingan seterusnya selain tidak mengambil mudah status pasukan lawan yang beraksi dalam saingan Liga M3,” kata Mohamad. - Berita Harian
Blog, Updated at: 4/15/2019

0 comments: