Terengganu FC Tidak Serius 'Tempatan' kan Lee Tuck - FAM


Kuala Lumpur: Hasrat tonggak tengah Terengganu FC (TFC), Lee Tuck untuk menyarung jersi Harimau Malaya mungkin berkubur ekoran sikap acuh tak acuh TFC yang dilihat tidak serius untuk mendaftarkan nama pemain itu selaku pemain tempatan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, sehingga kini pihaknya dimaklumkan TFC tidak membuat tindakan susulan untuk mendaftarkan Tuck kerana permohonan berkenaan perlu dibuat oleh majikannya sendiri di Jabatan Pendaftaran Negara.

"Isu Lee Tuck ini tidak serumit Mohamadou Sumareh kerana dia ada pertalian darah dengan Malaysia di mana prosesnya lebih mudah seperti Matthew Davies dan Brendan Gan.

"Jadi untuk membenarkan dia bermain (mewakili skuad negara) tidak ada masalah, tetapi TFC kena mohon sendiri dengan pihak berwajib.

"Selepas selesai isu dokumentasi, baru FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan mendaftarkannya selaku pemain tempatan dan dia sudah boleh bermain untuk Malaysia sekiranya dipanggil oleh jurulatih kebangsaan kelak," katanya kepada Arena Metro.

Tuck menyatakan hasratnya menyarung jersi Malaysia selepas menyaksikan penampilan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh bersama Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF, Disember lalu.

Pemain kelahiran England berusia 31 tahun itu mengakui dia teruja untuk menyarung jersi kebangsaan andai FAM mahu mendaftarkannya sebagai pemain tempatan.

Pemain tengah itu mula beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dengan mewakili Negeri Sembilan pada 2016 selama semusim sebelum menyertai Terengganu.

Dia tidak berdepan banyak masalah untuk mendapat taraf kerakyatan dan didaftarkan sebagai pemain tempatan kerana memiliki pertalian darah berikutan neneknya berasal dari Malaysia.

Selain Tuck, beberapa pemain kacukan sudah mewakili negara sebelum ini seperti Matthew Davies, Natxo Insa, Kiko Insa, Brendan Gan dan Junior Eldstal. - Harian Metro