Tiada Istilah Putus Asa Bagi Kipre Tchetche

Posted on Tuesday, April 16, 2019 | 4/16/2019



"BIARPUN masih belum meledak sebarang gol setakat ini, saya tidak akan berputus asa sebaliknya akan berusaha lebih gigih lagi dan terus berjuang pada setiap perlawanan.

"Itu tanggungjawab saya sebagai penyerang, lagi pun bola sepak sudah sebati dalam diri saya," kata penyerang utama skuad Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche.

Pemain kelahiran Ivory Coast yang diberi gelaran 'Drogba Ganu' itu berkata demikian selepas masih lagi kemarau jaringan sesudah sembilan perlawanan Liga Super musim ini.

Musim lalu, pemain termahal skuad Penyu itu meledak 24 gol keseluruhan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super dengan menghasilkan 14 gol.

Bekas penyerang kelab Al-Suwaiq Liga Oman berusia 32 tahun itu juga dinobatkan pemain terbaik pada Februari 2018 oleh Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Mengulas lanjut, bekas kapten skuad Penyu itu mengharapkan kemarau jaringan bakal berakhir apabila pasukannya membuat perhitungan dengan Kelantan United pada aksi Piala FA pusingan ketiga di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

"Sebagai penyerang, sudah pasti saya mahu menjaringkan gol untuk membantu pasukan mara ke pusingan seterusnya dan berharap pertemuan itu bakal berakhir dengan kejayaan," katanya.

Sementara itu pemangku ketua jurulatih, Mohamad Nik menuntut penyerang utamanya itu kembali menemui rentak cemerlang seperti musim lalu lebih-lebih lagi dalam aksi kalah mati malam ini di laman lawan.

"Biarpun dia (Tchetche) masih belum menjaringkan gol, saya akan memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kemampuan sebenar dengan meledak gol," katanya. - Harian Metro
Blog, Updated at: 4/16/2019

0 comments:

Loading...