Tsunami mega bakal landa New Zealand, bencana lebih dahsyat daripada di Jepun

HAMPIR sebulan rakyat New Zealand khususnya dikejutkan dengan kejadian serangan pengganas di Christchurch, kini mereka digegarkan pula dengan berita gempa bumi dan tsunami mega yang bakal melanda negara itu.

Jangkaan itu dibuat berdasarkan kajian pakar penyelidik daripada East Coast LAB bahawa gempa yang bakal melanda New Zealand ini mampu mencapai kekuatan 9.0 magnitud jika gegaran kuat berlaku di zon benam Hikurangi.

Berbanding kejadian gempa sebelum ini di Christchurch yang dicatat pada skala 6.2 magnitud pada 2011, jangkaan bacaan itu merupakan skala tertinggi bakal dicatatkan di negara itu.

Jika ia berlaku, satu tsunami besar dengan ombak setinggi 30 meter bakal melanda New Zealand di mana akibatnya adalah lebih dahsyat daripada bencana tsunami di Jepun pada 2011.

Malah, lebih parah lagi, pihak berkuasa mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk memberi amaran bencana kepada warga New Zealand, terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan pesisiran pantai jika tsunami itu berlaku.

Menurut pakar tsunami di GNS Science, Dr William Power, ombak besar yang bakal melanda itu bakal berlaku dengan begitu cepat sehingga amaran tidak sempat diberikan.

“Sekiranya tsunami berlaku di negara ini, kemungkinan besar amaran peringatan bencana secara rasmi tidak akan dikeluarkan sebelum gelombang gempa bumi dan tsunami itu tiba.

“Jadi mereka yang tinggal di pesisir pantai harus mengambil langkah keselamatan dengan kadar segera.”



Sumber: cempedakcheese.com