19,244 Penjawat Awam Selangor terima Bantuan Khas Kewangan 3 bulan gaji


Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini mengumumkan 19,244 penjawat awam di Selangor bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak tiga bulan gaji yang akan dibayar secara berperingkat. 

Beliau berkata, keputusan itu dimuktamadkan pihaknya selepas mengambil kira beberapa faktor. 

Pembayaran bantuan khas kewangan bagi satu bulan gaji yang juga dipanggil Insentif Mahabbah Selangor itu akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri pada 7 Jun ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM33.84 juta.

Bantuan khas kewangan dua bulan gaji lagi akan dibayar pada akhir tahun berasaskan mata pencapaian prestasi yang diperolehi oleh ketua-ketua jabatan.

Bantuan Khas kewangan satu bulan gaji juga akan diberikan kepada 1,521 kakitangan beberapa syarikat berkaitan (GLC) serta organisasi strategik negeri antaranya Universiti Selangor (UNISEL), Yayasan Hijrah Selangor, Tourism Selangor, Invest Selangor, Yayasan Warisan Anak Selangor dan Pusat Jagaan Rumah Puteri Arafiah yang melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM5.621 juta.

"Kerajaan negeri juga akan memberi insentif sebanyak RM1,000 kepada 739 kakitangan persekutuan yang berkhidmat di Selangor pada 7 Jun ini.

"Kita juga akan memberi insentif berjumlah RM4,171,500 kepada petugas di 390 masjid dan 2,053 surau di negeri ini, " katanya.

Sumber: Sinar Harian


Sumber : thereporter.my