Adakah Pengsan Akibat Dibius Membatalkan Puasa?


Soalan:
Apakah hukum apabila ubat bius yang disuntik kepada pesakit ketika berpuasa sedangkan dia pengsan hampir setengah hari?

Jawapan:
Persoalan di atas, meskipun menjurus kepada permasalahan kontemporari (perubatan) namun perbahasan mengenainya terdapat di dalam kitab-kitab fiqh terdahulu. Umum mengetahui bahawa syarat sahnya puasa seseorang itu antaranya mestilah berakal. Tidak wajib berpuasa bagi mereka yang gila begitu juga tidak wajib berpuasa bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz. Keadaan mereka yang dibius boleh disamakan dengan keadaan mereka yang pengsan dan dalam isu ini para ulama' mempunyai perbahasannya yang tersendiri.

Ini dapat dilihat apabila para ulama' sendiri membahagikan kategori pengsan itu sendiri kepada dua bahagian yang mana bagi setiap pembahagian ini mempunyai hukumnya yang tersendiri. Boleh jadi seseorang itu dibius dan pengsan pada keseluruhan hari tersebut dan ada juga sebahagiannya dibius, namun hanya separuh hari sahaja pengsan.

Dibius & Pengsan Keseluruhan Hari Puasa

Bagi mereka yang dibius dan pengsan dari terbitnya fajar sehingga tenggelamnya matahari dan tidak sedar dalam waktu tersebut, al-Syafieyyah dan al-Hanabilah mengatakan tidak sah puasanya kerana puasa itu adalah imsak beserta dengan niat. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ‏.‏ وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
“Setiap amalan baik anak Adam akan digandakan dengan sepuluh seumpamanya sehingga tujuh ratus gandaan. Allah SWT telah berfirman: Kecuali puasa, kerana Aku yang akan mengganjarinya buat mereka yang meninggalkan syahwat, makan minumnya kerana Aku. Bagi yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya dan bau mulut mereka yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.” [Riwayat Muslim (1151)]


Jelas berdasarkan hadis di atas bagi mereka yang pengsan tidak melakukan imsak kerana tidak menyedari apa yang sedang berlaku. Makanya, bagi mereka yang pengsan di sepanjang hari berpuasa, maka ia dikira sebagai tidak berpuasa dan wajib menggantikannya (qadha puasa).

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Majmu':

لَوْ نَوَى مِنْ اللَّيْلِ ثُمَّ أُغْمِيَ عَلَيْهِ جَمِيعَ النَّهَارِ لَمْ يَصِحَّ صَوْمُهُ عَلَى الْمَذْهَبِ
“Sekiranya berniat pada malam hari kemudian pengsan pada keseluruhan siangnya, maka tidak sah puasanya di sisi mazhab.” [Lihat al-Majmu', Dar al-Fikr, 6/346]

Dibius & Pengsan Setengah Hari

Bagi mereka yang beniat puasa di malam hari, kemudian pengsan di sebahagian hari waktu berpuasa maka puasanya sah sekiranya tersedar sejuzuk pada siang harinya. Ini juga yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu' dan ini adalah pendapat yang paling asah (sahih). [Lihat al-Majmu', Dar al-Fikr, 6/346]

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, sekiranya seseorang yang sudah niat berpuasa di malam hari, kemudian terpaksa dibius (atas sebab perubatan) lalu kesan bius itu menyebabkan dirinya pengsan di sepanjang waktu berpuasa, maka tidak sah puasanya dan dia perlu mengganti puasa tersebut. Adapun jika dibius lalu hanya pengsan separuh hari lalu tersedar selepas itu pada waktu siangnya, maka sah puasanya pada hari tersebut. Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media