Asiah Jalil ingin tinggal dalam syurga bersama-sama Karpal Singh

PEGUAM Asiah Jalil yang juga merupakan kenalan rapat Siti Kassim sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila memuat naik status berbaur provokasi terhadap umat Islam di media sosial.

Dalam status terbarunya di Facebook, Asiah Jalil mendakwa ajaran golongan agama bahawa syurga hanya untuk orang Islam sahaja menyebabkan orang Melayu berasa takut untuk mendoakan kesejahteraan ke atas mendiang tokoh sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Malah kata Asiah, dia sehingga kini masih mendoakan kesejahteraan untuk mendiang Karpal Singh agara dapat hidup berjiran bersamanya di syurga nanti.

“Saya sampai sekarang masih mendoakan kesejahteraan untuk mendiang Karpal Singh. Malah saya berdoa semoga di syurga nanti saya boleh hidup berjiran dengan Karpal Singh. Supaya hari-hari saya boleh bersembang dengan Karpal Singh di syurga,” tulisnya.

Berikutan itu, status beliau telah mendapat teguran dari pelbagai pihak termasuklah dari Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr. Ahmad Sanusi Azmi.

Baca kenyataan Dr. Ahmad Sanusi Azmi di bawah:

Mendoakan Karpal Singh Ke Syurga?

1. Secara asasnya, Allah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa mereka yang telah sampai kepadanya seruan Islam, lalu dia mati dalam keadaan kufur kepada Allah, maka dia akan ditempatkan di neraka. Ini adalah aqidah Muslim. Firman Allah:

إِنَّهُ مَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ

“Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka.” (al-Maidah:72)

2. Bahkan Allah memberikan perincian lagi bahawa mereka yang telah sampai kepada mereka kitab seperti ahli kitab Yahudi dan Kristian, namun sekiranya mereka kufur kepada Allah, maka mereka akan ke neraka. Firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أُولَئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekalah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. (al-Bayyinah:6)

3. Apakah Allah tidak bersifat Rahman dan Rahim sekiranya Allah menempatkan golongan kafir ini ke neraka? Tidak sama sekali. Ini kerana Allah Maha Adil dan Allah telah mengutuskan para Rasul menyeru ke arah seruan Tauhid. Bahkan seruan dakwah berlaku di serata dunia. Allah sama sekali tidak akan menzalimi hambaNya. Firman Allah:

وَلا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَداً

“Dan Tuhanmu tidak akan menzalimi seorangpun dari hamba-hambaNya.” (al-Kahfi:49).

4. Apabila mereka memilih untuk kufur kepada Allah, sekalipun mereka melakukan kebaikan, maka amalan tersebut tidak di terima di sisi Allah: Firman Allah:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Ali Imran:85)

5. Dalam sebuah hadith yang sahih, seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah tentang Abdullah ibn Jad’an seorang yang memberi makan kepada orang miskin. Apakah amalannya akan diterima? Tanya lelaki tersebut:

يَا رَسُولَ اللَّهِ , ابْنُ جُدْعَانَ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ يَصِلُ الرَّحِمَ وَيُطْعِمُ الْمِسْكِينَ فَهَلْ ذَاكَ نَافِعُهُ ؟ قَالَ لَا يَنْفَعُهُ إِنَّهُ لَمْ يَقُلْ يَوْمًا رَبِّ اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي يَوْمَ الدِّينِ

“Wahai Rasulullah, Abdullah ibn Jad’an adalah seorang yang menyambung silaturrahim pada zaman Jahiliyyah, dia memberi makan pada orang miskin, apakah amalannya bermanfaat buatnya di sisi Allah? Rasulullah lalu menjawab: Tidak. Tidak ada manfaat buatnya. Dia tidak pernah mengungkapkan: Wahai Tuhanku, ampunkan dosaku pada hari akhirat nanti. (HR Sahih Muslim).

6. Begitu juga dengan Abu Talib, pakcik Rasulullah yang telah sampai kepadanya seruan dakwah lalu memilih untuk tidak beriman. Beliau telah banyak membantu Islam. Namun Rasulullah menjelaskan bahawa beliau akan ditempatkan di neraka. Kata Rasulullah:

أهون أهل النار عذاباً أبو طالب، وهو ينتعل بنعلين يغلي منهما دماغه

“Azab yang paling ringan yang ditimpakan ke atas ahli neraka adalah azab kepada Abu Talib. Beliau akan dipakaikan sepatu dari neraka yang mana sepatu tersebut menyebabkan menggelegaknya kepada beliau (dek kerana panasnya azab sepatu tersebut). (HR Sahih Muslim). (Perkara keimanan Abu Talib ini menjadi perselisihan kerana ada yang menyatakan dia telah memeluk Islam. Namun di sini ingin dijelaskan tentang sekiranya dia kufur, maka dia ditempatkan di neraka)

7. Sifat kufurlah yang menyebabkan seseorang itu dicampak ke neraka. Di dalam al-Quran, Allah banyak memuji Nabi Ibrahim bahkan menyifatkan Nabi Ibrahim sebagai role-model (uswah hasanah). Namun Allah menolak untuk menerima doa keampunan yang dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim buat ayahandanya yang kufur itu. Firman Allah:

إِلَّا قَوْلَ إِبْرَاهِيمَ لِأَبِيهِ لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ

“tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): “Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu.” (al-Mumtahanah:4, terjemahan UIA).

8. Ketika Allah Taala menolak permintaan Nabi Ibrahim supaya ayahanda beliau diampunkan ini apakah Allah tidak bersifat Rahman dan Rahim? Ketika Allah menempatkan Abu Talib, pakcik yang banyak membantu Rasulullah ini, apakah Allah tidak bersifat penyayang? Ketika Allah menolak amalan Abdullah ibn Jad’an, apakah Allah tidak pengasih? Tidak sama sekali. Bahkan Allah itu Maha Adil.

9. Perkara mendoakan orang kafir yang melakukan kebaikan ini turut dihuraikan oleh Mufti Wilayah. Kata Beliau:

“Doa seperti rahmat dan barakat daripada Allah SWT adalah tidak dibenarkan. Ini kerana ia terkhusus bagi orang yang beriman. Ini berdasarkan kisah seorang sahabat Nabi bernama Uqbah bin Amir al-Juhaniy…”

Baca selanjutnya: Hukum mendoakan Non-Muslim yang melakukan kebaikan kepada kita

10. Berdasarkan penjelasan al-Quran dan hadith, mereka yang kufur akan ditempatkan ke neraka. Hanya Allah sahaja yang menentukan untung nasib seseorang. Apabila Allah menjelaskan bahawa aqidah adalah asas yang paling utama, maka itulah pegangan kita sebagai Muslim.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi



Sumber: kulihatlangitbiru.com