Bonus penjawat awam Terengganu diumum hari ini

KERAJAAN negeri belum membuat keputusan mengenai bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam di Terengganu tetapi kertas cadangan permohonan akan dimasukkan dalam agenda Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) hari ini.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya berkata, kertas cadangan termasuk jumlah bantuan, kaedah pembayaran serta peruntukan untuk pemberian bonus kepada semua penjawat awam di negeri itu akan dibentangkan pada mesyuarat EXCO.

“Tunggu keputusan esok (hari ini), tetapi bahagian pengurusan pejabat Setiausaha Kerajaan negeri sudah siapkan kertas cadangan terutama jumlah peruntukan untuk pemberian bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam.

“Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka mengumumkan jumlah bantuan dan kaedah pembayaran selepas selesai mempengerusikan mesyuarat EXCO esok,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Johor Bahru dan Negeri Sembilan sudah mengumumkan pembayaran bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam di negeri masing-masing.

Pada sambutan Aidilfitri tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM6.3 juta bagi pembayaran bonus kepada 12,000 penjawat awam termasuk yang berstatus tetap dan kontrak.



Sumber: kulihatlangitbiru.com