Debat: Najib sudah sedia, Kit Siang pula tarik diri

PENASIHAT DAP Lim Kit Siang memutuskan tidak akan meneruskan debatnya dengan bekas perdana menteri Najib Razak kerana bimbang ia akan bertukar menjadi konflik perkauman.

Menurut pemimpin veteran DAP itu, beliau menerima segunung surat yang memintanya tidak meneruskan debat itu.

Kit Siang mengakui keputusannya itu akan menyebabkan dirinya digelar penakut, namun menyerahkan kepada rakyat untuk menghakimi.

“Saya sedar yang keputusan saya ini akan disambut dengan pelbagai tuduhan yang saya ini adalah seorang penakut.

“Kerjaya politik saya selama 53 tahun adalah terbuka untuk semua rakyat menghakimi sama ada saya seorang penakut ataupun tidak dan saya sentiasa bersedia untuk menerima penghakiman daripada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib sebelum ini mencabar Kit Siang untuk berdebat memandangkan pemimpin itu terlalu obses membicarakan tentang dirinya selain melontarkan pelbagai fitnah sejak sekian lama.

Kit Siang dalam responnya selepas itu menyahut cabaran Najib, namun meletakkan cadangan supaya debat itu ditetapkan dengan tajuk “Bagaimana Malaysia terjerumus menjadisebuah kleptokrasi global.”

Najib kemudiannya bersetuju dengan syarat tersebut dan meminta supaya debat berkenaan diadakan secara langsung di televisyen selepas sambutan Aidilfitri.

“(Tajuk debat) Bagaimana Malaysia terjerumus menjadisebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti” di antara Najib dan saya ini boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu vs Cina.

“Sedangkan perang melawan rasuah, penyalah-gunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukanlah satu isu perkauman atau keagamaan tetapi satu isu nilai murni dan pentadbiran yang baik.

“(Oleh itu), saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib ini,” kata Kit Siang.



Sumber: kulihatlangitbiru.com