Ekonomi Malaysia teruk adalah tidak benar, kata Mahathir

Posted on Wednesday, May 15, 2019 | 5/15/2019


PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan ekonomi negara kini berada dalam keadaan teruk sehingga menyebabkan pelabur luar ‘hilang sabar’ dan mencari peluang pelaburan di negara lain.

Dr Mahathir berkata, dakwaan media antarabangsa itu sangat tidak berasas ketika prestasi ekonomi negara sangat baik di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Negara ini merupakan tempat pelaburan yang sesuai, tetapi pakar-pakar menyatakan di media bahawa Malaysia berada dalam keadaan buruk, seolah-olah seperti akan berperang atau apa-apa.

“Sebenarnya, prestasi kita amat baik, pelaburan sudah mula masuk, janganlah siarkan berita palsu,” katanya kepada media selepas melancarkan myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam dan Panduan Penetapan Tempoh Masa Dalam Carta Alir di sini hari ini. Dr Mahathir berkata demikian mengulas laporan Bloomberg, dana global tidak berminat dengan Malaysia seterusnya memihak kepada pasaran lain dengan saham mencatat pengaliran keluar hampir dalam kesemua 12 bulan yang lalu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir meminta orang ramai untuk mendapatkan berita yang sahih mengenai keadaan ekonomi negara dan menyeru media agar melaporkan perkara yang benar.

“Media kena melaporkan perkara yang betul, jangan lapor berita palsu,” tegasnya lagi.



Sumber: kulihatlangitbiru.com
Blog, Updated at: 5/15/2019

0 comments:

Loading...