‘Habis duit mak ayah ambe kena lebong’ – Warga emas rugi RM16,000 ditipu sindiket cabutan bertuah

KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri warga emas kerugian lebih RM16,000 ditipu sindiket cabutan bertuah ketika mengunjungi sebuah pasaraya, di sini, baru-baru ini.

Menurut anak mangsa, Ahmad Syahril Mohd, dalam kejadian pada 13 Mei lalu, bapanya didatangi oleh dua orang dari wakil syarikat FZE Electrical Enterprise dan ditawarkan cabutan bertuah bagi barangan elektrik.

Mangsa dikatakan menang penapis dan penggoreng udara sebelum ditawarkan ketuhar gelombang mikro dengan harga RM4299.

“Ayah setuju untuk menerima hadiah ketuhar gelombang mikro tersebut dan membayar menggunakan kad ATM melalui mesin MBF.

“Sampai sahaja di rumah, ayah merasa tertipu dan mengajak ibu ke bank CIMB cawangan Jalan Sultan Ismail untuk membuat pemeriksaan. Pihak bank memberitahu transaksi berjaya.

“Bimbang akaun bank disalahguna, ayah membatalkan akaun sedia ada dan membuka akaun baharu serta-merta,” katanya.

Ahmad Syahril berkata, mangsa kemudiannya pergi berjumpa wakil syarikat pada petang hari yang sama untuk membatalkan pembelian yang dibuatnya sebelum ini.

“Bagaimanapun, wakil syarikat memberitahu, transaksi sebelum ini tergantung kerana ayah telah membatalkan akaun lama.

“Wakil syarikat meminta ayah membuat transaksi menggunakan akaun orang lain untuk membatalkan transaksi dan ayah berjanji untuk berbuat demikian pada hari lain menggunakan akaun bank ibu.

“Beberapa hari selepas itu, wakil syarikat sendiri datang ke rumah konon untuk membatalkan pembelian yang dibuat oleh ayah.

“Wakil syarikat meminta ibu menyerahkan kad ATM sebelum membuat bayaran melalui mesin MBF,” katanya.

Kata Ahmad Syahril lagi, wakil syarikat telah datang ke rumahnya selama tiga hari berturut-turut iaitu pada 17,18 dan 19 Mei lalu dengan alasan transaksi masih tergantung dan meminta isteri mangsauntuk membuat bayaran semula.

“Ayah yang curiga kemudiannya membawa mak ke mesin ATM untuk membuat semakan sebelum mendapati terdapat tiga transaksi berjumlah RM11,875 pada tiga hari tersebut.

“Ayah dan mak seterusnya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Suhubungan itu, Ahmad Syahril menyeru orang ramai supaya berhati-hati agar tidak terpedaya dengan tawaran cabutan bertuah oleh mana-mana individu atau syarikat.

Menurutnya, sindiket menyasarkan golongan warga emas kerana mereka mudah ditipu kerana kurang pendedahan mengenai skim tersebut.



Sumber: kulihatlangitbiru.com